Petugas Kesihatan Selcare memasukkan sampel ujian ke dalam beg saringan Covid-19 di Klinik Selcare, Shah Alam pada 4 Oktober 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Saringan Covid-19 percuma untuk penduduk Kuala Selangor

SHAH ALAM, 4 OKT: Kerajaan Negeri menerusi Selgate Corporation Sdn Bhd (Selgate) menawarkan saringan Covid-19 secara percuma kepada penduduk sekitar Kuala Selangor yang mempunyai sejarah perjalanan dari Sabah antara 20 hingga 26 September lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Selgate Noor Hisham Mohd Ghouth berkata proses pengambilan ujian calitan itu dijangka diadakan esok di Dewan Bandar Baru Kuala Selangor mulai 9 pagi hingga 6 petang.

“Selain klinik yang sudah ditetapkan, kita memang bercadang untuk mengadakan saringan ini kepada penduduk di daerah berkenaan dengan anggaran 50 hingga 100 individu.

“Pemilihan lokasi ini dibuat berikutan kesemua 16 klinik Selcare sedia ada hanya terdapat di Lembah Klang dan kita masih belum memiliki klinik di kawasan terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau proses saringan bersasar Covid-19 di Klinik Selcare di sini hari ini.

Pada masa sama, Noor Hisham berkata individu yang mahu mendapatkan perkhidmatan itu tidak perlu membuat janji temu sebaliknya hadir mengikut masa ditentukan.

“Jadi, semua penduduk Kuala Selangor dan kawasan berhampiran yang pulang dari Sabah sejak 26 September lalu disaran hadir membuat saringan dalam kadar segera,” katanya.

Individu berkaitan perlu mengemukakan bukti pemastautin tetap di Selangor seperti kad pengenalan, bil air dan elektrik serta tiket penerbangan dari Sabah.


Pengarang :