Tinjauan keadaan semasa di sekitar hab perhubungan utama Kuala Lumpur iaitu Stesen Sentral Kuala Lumpur dan pusat beli-belah Nu Sentral pada 17 Mac 2020 menunjukkan orang ramai masih melakukan aktiviti seperti biasa, namun pemakaian topeng muka dilihat semakin menjadi kebiasaan susulan penularan Covid-19. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Saringan kesihatan lebih ketat di terminal pengangkutan awam

PUTRAJAYA, 1 OKT: Mulai esok, saringan kesihatan yang lebih ketat perlu dilaksanakan operator di terminal dan stesen, termasuk perkhidmatan kaunter pengangkutan awam di seluruh negara bagi mengekang penularan Covid-19.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, langkah-langkah pencegahan Covid-19 seperti melakukan pembersihan atau disinfeksi juga perlu dilaksanakan di semua lokasi itu.

Katanya, tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), seperti mengamalkan penjarakan fizikal dan penggunaan pelitup muka, perlu dikuatkuasakan tanpa kompromi demi kepentingan semua pihak, termasuk para kakitangan dan pengguna pengangkutan awam.

“Mohon ambil perhatian serius berhubung perkara ini. Sebanyak 260 kes dilaporkan positif Covid-19 hari ini dan peningkatan sehingga angka tiga digit ini pastinya membimbangkan kita semua,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah hari ini berkata sebanyak 260 kes baharu Covid-19 dicatatkan hari ini, kedua tertinggi di Malaysia selepas 4 Jun lalu yang merekodkan 277 kes.

Empat kluster baharu Covid-19 pula dikenal pasti iaitu kluster Jalan Meru di Selangor, kluster Joo Hwa di Sabah, kluster Selasih di Putrajaya dan kluster Bah Ketil di Kedah, katanya.

– BERNAMA


Pengarang :