Seramai 250 guru sekolah di Labuan menjalani ujian pengesahan dan saringan kedua Covid-19 serta tindak balas berantai polimerase di Pusat Kokurikulum Negeri Wilayah Persekutuan Labuan pada 8 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Satu lagi daerah di Sabah dikenakan PKPB mulai Selasa ini

SHAH ALAM, 11 OKT: Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diperluas ke satu lagi daerah di Sabah iaitu Kota Belud bermula tengah malam, 13 hingga 26 Oktober ini.

Menteri kanan (kluster keselamatan) berkata pelaksanaan bagi membendung jangkitan Covid-19 yang meningkat selain membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar sepanjang tempoh berkenaan.

“Sektor ekonomi termasuk kilang dan rantaian berkaitan dalam perkhidmatan perlu dibenarkan.

“Manakala hanya dua orang daripada satu rumah dibenarkan keluar membeli barangan keperluan makanan di kedai runcit, restoran dan untuk membeli perkara berkaitan perubatan,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media hari ini.

Beliau menambah pasar borong, malam dan tani serta kedai barang keperluan dan runcit dibenarkan beroperasi manakala premis juga warung makanan dibuka tetapi terhad kepada pembelian secara pandu lalu, penghantaran dan bungkus.

Katanya, farmasi dan klinik dibenarkan beroperasi termasuk sektor perjalanan berkaitan perikanan, pertanian serta perladangan.

“Semua sekolah, tadika, institusi pengajian tinggi, masjid dan rumah ibadat lain ditutup sepanjang tempoh ini manakala aktiviti sukan, rekreasi, sosial serta budaya tidak dibenarkan,” katanya.


Pengarang :