Pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) dibuka di Dewan Serbaguna Perbadanan Labuan yang akan memulakan operasinya pada 30 Okt 2020. Foto Facebook BES Labuan
AGENDANASIONAL

Satu lagi pusat rawatan Covid-19 risiko rendah dibuka di Labuan

KUALA LUMPUR, 29 OKT: Satu lagi pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 untuk kes berisiko rendah (PKRC) mula beroperasi di Labuan hari ini, bagi menampung peningkatan jumlah kes Covid-19 di wilayah itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata disebabkan bilangan pesakit yang semakin bertambah, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan (JKWP) Labuan menyediakan PKRC di Dewan Perbadanan Labuan dengan kapasiti 140 katil, sebagai tambahan kepada 177 katil di PKRC sedia ada sebelum ini, menjadikan jumlah keupayaan katil PKRC di Labuan sebanyak 317 katil.

“Pembukaan PKRC di Dewan Perbadanan Labuan ini adalah hasil kerjasama semua pihak, termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Perbadanan Labuan dan agensi lain di Labuan serta Taiwan Buddist Tzu-Chi Foundation Malaysia, Institut Latihan Perindustrian dan beberapa penyumbang lain, yang menjadikan pusat rawatan ini dapat dibuka dalam tempoh 24 jam.

“Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada semua pihak atas pendekatan ‘The Whole of Government and Whole of Society Approach’,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 hari ini.

Beliau berkata tenaga kerja bagi pusat rawatan baharu itu akan menggunakan sepenuhnya tenaga kerja di JKWP Labuan dan pasukan bantuan yang dihantar di JKWP Labuan, di mana pasukan tersebut akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa untuk memastikan program kawalan Covid-19 di Labuan berjalan lancar seperti yang dirancang.

Katanya sebelum ini, JKWP Labuan meningkatkan kapasiti sedia ada melalui beberapa fasa pembukaan PKRC.

“Untuk menampung kapasiti rawatan kes positif Covid-19 yang semakin meningkat di WP Labuan, JKWP Labuan meningkatkan kapasiti sedia ada melalui beberapa fasa pembukaan PKRC iaitu fasa pertama (Januari-Mac 2020) dengan menjadikan rumah pelawat dan pusat ‘wellness’ sebagai PKRC dengan kapasiti 16 katil.

“Fasa kedua (Mac-September 2020), memaksimakan ruang di Hospital Labuan dengan tambahan 105 katil, menjadikan kapasiti katil Covid-19 ketika itu meningkat kepada 121 katil, dan fasa ketiga (September-Oktober 2020), melibatkan rundingan penggunaan fasiliti luar iaitu Bahagian Teknologi Pendidikan sebagai PKRC yang berkapasiti 56 katil, menjadikan jumlah keupayaan katil PKRC sebanyak 177 katil,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata bagi rawatan Covid-19 di Hospital Labuan pula, daripada 122 katil di hospital itu, sebanyak 20 katil dikhususkan untuk pesakit kategori 4 dan 5, iaitu sebagai katil ‘Unit Rawatan Separa Rapi (HDU) dan Unit Rawatan Rapi (ICU) di Wad Kelas Pertama dan Wad Kanak-kanak.

Katanya, baki 102 lagi katil Hospital Labuan termasuk lima katil ICU sedia ada akan terus digunakan untuk rawatan kes bukan Covid-19.


Pengarang :