Anggota polis dan tentera memeriksa surat kebenaran merentas daerah ketika melakukan sekatan jalan raya di Jalan Bukit Bintang bagi memastikan orang awam tidak melanggar Perintah Kawalan Pegerakan Bersyarat (PKPB) ketika tinjauan pada 14 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Sejuta pekerja di Selangor, Sabah diarah kerja dari rumah mulai Khamis

SHAH ALAM, 20 OKT: Kerajaan mewajibkan satu juta pekerja di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan dan Sabah bekerja dari rumah mulai 22 Oktober.

Menteri kanan pertahanan berkata perintah itu melibatkan 800,000 pekerja sektor industri dan 200,000 kakitangan awam di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata arahan itu berkuat kuasa sehingga perintah kawalan di kawasan terbabit tamat dan jenis pekerjaan serta sektor terlibat akan diumum kemudian.

“Melihat kepada trend peningkatan kes Covid-19 di negeri dan wilayah-wilayah ini, terdapat keperluan bagi memperketatkan kawalan aktiviti pergerakan keluar masuk melibatkan kawasan ini.

“Kementerian Kesihatan Malaysia juga sebelum ini mengumumkan terdapat sembilan kluster dari tempat kerja di Selangor, justeru sidang khas Majlis Keselamatan Negara hari ini bersetuju agar pekerja sektor awam dan swasta hanya bekerja dari rumah,” katanya dalam sidang media.

Ismail Sabri berkata pengecualian diberikan untuk ke pejabat seperti bahagian kewangan yang perlu membuat bayaran, penguatkuasaan dan kebajikan.

Beliau turut mengarahkan majikan untuk mengeluarkan surat pelepasan perjalanan bagi setiap kakitangan yang terpaksa bekerja di pejabat sepanjang tempoh tersebut.

“Pekerja yang tinggal di kawasan zon merah perlu melakukan saringan dan jika pihak majikan mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial, kos akan ditanggung,” katanya lagi.

PKPB dilaksana di Sabah bermula 13 hingga 26 Oktober manakala Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mulai 14 hingga 27 Oktober.

 


Pengarang :