Anggota polis melakukan sekatan jalan raya di Lebuhraya Persekutuan berhadapan bangunan Majlis Perbandaran Klang susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan akibat penularan Covid-19 pada 20 Mac 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sekatan jalan raya diadakan semula di KL, Selangor dan Putrajaya

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Polis akan kembali menguatkuasakan sekatan jalan raya (SJR) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berikutan arahan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai 14 Okt.

Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata sekatan jalan raya itu akan diadakan di beberapa lokasi di tiga negeri terlibat bermula tengah malam esok.

“Sekatan jalan raya akan dilaksanakan sama seperti yang pernah dibuat sebelum ini (Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) awal Mac lepas. Arahan penugasan anggota polis di lokasi akan diatur oleh ketua polis Kuala Lumpur dan ketua polis Selangor,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Affendi Buang berkata ATM akan bekerjasama dengan PDRM dalam melaksanakan sekatan jalan raya seperti sebelum ini.

“ATM dan PDRM akan buat seperti yang dilakukan sebelum ini,” katanya ringkas.

Hari ini, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan bersetuju melaksanakan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula 12.01 tengah malam 14 Okt hingga 27 Okt ini.

Keputusan itu dicapai pada Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini, selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan dan mengambil kira peningkatan kes dan penularan Covid-19 seperti di Klang, Petaling serta Gombak.

-BERNAMA


Pengarang :