Pemain Selangor, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi (kanan) diasak keras pemain PDRM, Ahmad Syahmi Shuiri pada aksi perlawanan CIMB Liga Super Malaysia 2020 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada 3 Okt 2020. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Selangor berpesta gol, ‘belasah’ PDRM

KUALA LUMPUR, 4 OKT: Pasukan Selangor meraih kemenangan terbesar pada saingan Liga Super musim ini setelah membelasah pasukan tercorot, Polis Diraja Malaysia (PDRM) 7-0 pada aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam tadi.

Kemenangan ketiga diraih skuad Gergasi Merah menyaksikan pasukan berkenaan naik empat anak tangga ke kedudukan kelima carta Liga Super menerusi kutipan 14 mata selepas 10 perlawanan (tiga kemenangan, lima keputusan seri dan dua kekalahan), manakala PDRM masih gagal meraih sebarang mata selepas 10 perlawanan.

Pada aksi di Cheras, Selangor selesa mendahului 3-0 pada babak pertama perlawanan menerusi gol daripada Ifedayo Olusegun Omosuyi pada minit ke-19 dan dua gol daripada Sean Selvaraj masing-masing pada minit ke-26 dan ke-33.

Bersambung babak kedua perlawanan, skuad Gergasi Merah terus menambah derita pasukan tuan rumah setelah menambah empat lagi jaringan menerusi Brendan Gan pada minit ke-69, Ifedayo (minit ke-74), Muhammad Safuwan Baharudin (minit ke-80) serta pemain import dari Sepanyol, Rufino Segovia pada minit ke-83.

Dalam pada itu, Perak mencerahkan peluang untuk beraksi dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia pada musim hadapan setelah bangkit mengikat Pahang menerusi keputusan seri 3-3 pada aksi di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

Pada aksi berkenaan, skuad Tok Gajah selesa mendahului 3-0 hasil sentuhan penyudah R Dinesh seawal minit kelapan, Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim (minit ke-26) dan jaringan Ivan Carlos pada minit ke-41, namun Perak berjaya merapatkan defisit jaringan menerusi gol K Partiban pada minit ke-47.

Penyerang kebangsaan, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi meledak gol kedua Perak pada minit ke-84, sebelum kesilapan sendiri penjaga gol Pahang, Mohd Helmi Eliza Elias pada masa kecederaan babak kedua perlawanan memastikan pasukan pelawat membawa pulang satu mata berharga.

Pengadil perlawanan, Mohd Nafeez Abdul Wahab melayangkan kad merah kepada Ivan selepas pemain dari Brazil itu bertindak menyerang salah seorang pemain Perak selepas tamat perlawanan.

Terengganu FC pula meraih tiga mata penuh di tempat lawan setelah menundukkan Felda United 3-0 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang.

Tiga gol skuad Penyu dijaringkan oleh Dominique Da Sylva seawal minit kelima perlawanan, Sanjar Shaakhmedov (minit ke-37) dan Ketua Pasukan, Lee Andrew Tuck pada minit ke-65.

Dalam pada itu, Kelantan gagal menggunakan kelebihan beraksi di laman sendiri setelah seri 2-2 pada aksi tunggal Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu.

Pasukan tuan rumah meraih jaringan menerusi gol Mohamad Amirul Shafik Che Soh pada minit ke-28, dan sepakan penalti Nik Akif Syahiran Nik Mat pada minit ke-82, manakala Negeri Sembilan memperolehi jaringan menerusi gol Jose Neto pada minit ke-14 dan sepakan penalti daripada Igor Luiz pada minit ke-87.

-BERNAMA


Pengarang :