Orang ramai perlu patuh tatacara operasi piawai dengan menggunakan pelitup muka dan penjarakan fizikal di tempat awam dan sesak bagi mengawal penularan Covid-19. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Selangor catat 278 kes aktif, orang awam diminta patuh SOP

SHAH ALAM, 11 OKT: Sebanyak 278 kes aktif dengan kebolehjangkitan direkodkan di Selangor, kata Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC).

Dari jumlah itu, 109 kes melibatkan individu mendapat jangkitan dari negeri lain.

Pasukan itu menasihatkan orang awam terus patuh tatacara operasi piawai (SOP) dan tidak melawat mana-mana individu yang sedang menjalani kuarantin.

“Keutamaan kini adalah nyawa serta kebajikan masyarakat serta buang sikap mementingkan diri sendiri. Amalkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka serta kerap basuh tangan,” katanya menerusi Facebook.

Menurut STFC, sebanyak 216 kes dicatatkan sepanjang 3 Oktober hingga Jumaat lalu dengan 214 jangkitan tempatan.

“Corak peningkatan sangat ketara apabila dibandingkan dengan minggu sebelumnya iaitu 93 kes direkodkan melibatkan 90 jangkitan tempatan. Corak ini selari dengan kadar jangkitan kebangsaan,” katanya.

Hari ini Selangor mencatatkan 26 kes baharu menjadikan keseluruhan 2,601 kes.


Pengarang :