Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Putrajaya pada 20 Oktober 2020. Foto BERNAMA
SELANGORSELANGOR

Selangor catat 62 kes, dua kluster baharu dikesan

SHAH ALAM, 23 OKT: Selangor mencatatkan 62 kes baharu Covid-19 hari ini, turun berbanding 132 kes semalam.

Ketua pengarah kesihatan memaklumkan, dua kluster baharu dikesan di negeri ini iaitu kluster Palma dan kluster Jaya dengan 10 disahkan positif wabak.

“Daripada 62 kes dilaporkan, 29 kes daripada kluster-kluster termasuk 10 kes daripada kluster baharu iaitu kluster Palma dan kluster Jaya.

“Sebanyak 18 kes (lain) daripada saringan kontak rapat kes positif, satu kes saringan pulang dari Sabah dan 14 kes daripada lain-lain saringan Covid-19,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata kes indeks kluster Palma iaitu kes ke-20,399 dikesan positif hasil saringan individu bergejala pada 17 Oktober dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Kluster ini melibatkan daerah Gombak dan Hulu Selangor serta Kepong, Kuala Lumpur, saringan kontak rapat turut mengenal pasti 12 lagi kes positif Covid-19.

“Sehingga 12 tengah hari ini, seramai 101 individu telah disaring, 13 kes dikesan positif dengan sembilan kes baharu dan 88 individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata kluster Jaya pula melibatkan daerah Sepang dan Seremban, Negeri Sembilan yang dikenal pasti hasil saringan di tempat kerja pada 20 Oktober .

“Hasil saringan terhadap 48 individu mendapati sembilan kes dikesan positif Covid-19 sementara 39 individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Hari ini, Malaysia mencatatkan 710 kes baharu Covid-19 dengan Sabah terus mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 528.


Pengarang :