Petugas Kementerian Kesihatan melakukan saringan Covid-19 kepada penumpang dari Sabah yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 28 September 2020. Foto BERNAMA
SELANGOR

Selangor catat 69 kes Covid-19, kesan satu kluster baharu

SHAH ALAM, 12 OKT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan satu kluster baharu dinamakan Kluster Bah Tropicana di Petaling selepas Selangor merekodkan 69 kes positif Covid-19 hari ini.

Ketua pengarah kesihatan berkata kes indeks kluster ke-11,804 dikenal pasti positif hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi iaitu Sabah pada 2 Oktober 2020.

“Beliau dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh. Saringan kontak rapat telah mengesan 13 lagi kes positif.

“Sehingga 12 tengah hari tadi sejumlah 147 individu disaring dengan 14 kes dikesan positif, 105 individu negatif dan 28 individu masih menunggu keputusan,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media secara maya hari ini.

Beliau menjelaskan bagi 68 kes lain, 57 kes adalah daripada kluster sedia ada dan enam kes daripada saringan kontak rapat kes positif Covid-19.

Selain itu, satu kes dikesan hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) manakala empat kes daripada saringan lain.

Pertambahan ini menjadikan jumlah kumulatif kes Covid-19 menjadi 2,670 kes.


Pengarang :