Seramai 250 guru sekolah di Labuan menjalani ujian pengesahan dan saringan kedua Covid-19 serta tindak balas berantai polimerase di Pusat Kokurikulum Negeri Wilayah Persekutuan Labuan pada 8 Oktober 2020. Foto BERNAMA
SELANGOR

Selangor catat 76 kes, satu kluster baharu dikesan

SHAH ALAM, 13 OKT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan satu kluster baharu dinamakan kluster Bah Kenangan di Hulu Langat selepas Selangor merekodkan 76 kes positif Covid-19 hari ini.

Ketua pengarah kesihatan berkata kes indeks kluster ke-11,802 dikenal pasti positif hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi iaitu Sabah pada 2 Oktober lalu.

“Beliau dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh. Saringan kontak rapat mengesan 17 lagi kes positif.

“Sehingga 12 tengah hari tadi sejumlah 38 individu disaring dengan 18 kes dikesan positif, 15 individu negatif dan lima individu masih menunggu keputusan,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media secara maya menerusi Facebook hari ini.

Beliau menjelaskan bagi 75 kes positif lain, 45 membabitkan kluster sedia ada dan 16 kes saringan kontak rapat kes positif Covid-19.

Selain itu, sembilan kes dikesan hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi iaitu Sabah manakala lima kes daripada saringan bergejala.

Pertambahan ini menjadikan jumlah kumulatif wabak di Selangor sebanyak 2,746 kes.


Pengarang :