Hee Loy Sian menjawab pertanyaan media berhubung isu pencemaran bau air Sungai Selangor di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2, Kuala Selangor pada 19 Oktober 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Selangor guna dron berteknologi tinggi pantau sungai, cegah pencemaran

KUALA SELANGOR, 19 OKT: Kerajaan Negeri menggunakan teknologi dron mulai November ini untuk memantau sungai di Selangor bagi memastikan tiada pencerobohan dan pencemaran sumber air.

Hee Loy Sian berkata RM2 juta diperuntukkan bagi penggunaan alat berkenaan selepas diluluskan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) baru-baru ini.

“Kita gunakan dron bagi mendapatkan sampel air dengan lebih berkesan dan tepat malah alat ini boleh masuk sehingga ke kawasan terpencil,” katanya pada sidang media di LRA Sungai Selangor Fasa 2 di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata usul pindaan Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (Luas) 1999 untuk menaikkan denda RM200,000 hingga RM1 juta dan penjara sehingga tiga tahun terhadap pencemar air akan dibawa ke sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) awal bulan depan.

Tambah Loy Sian, beliau difahamkan pihak Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa) akan turut membawa cadangan menggubal Rang Undang-Undang (RUU) sedia ada berkaitan pencemaran air ke parlimen dengan menaikkan jumlah denda supaya pencemar sungai takut melakukan jenayah.

“Pada masa sama, Kerajaan Negeri menawarkan ganjaran sebanyak RM20,000 kepada orang ramai yang menyalurkan maklumat individu berniat mencemarkan sungai,” katanya.

Sebanyak 1.2 juta akaun pengguna di 1,292 kawasan meliputi wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat mengalami gangguan bekalan air.

Ia susulan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas berikutan pencemaran sumber air mentah dikesan di Sungai Selangor pada jam 2 pagi tadi.

Siasatan awal pakar Air Selangor menemukan bau seakan-akan pelarut yang disyaki daripada tiga kawasan kilang.


Pengarang :