Tinjauan di Sungai Semenyih, Dengkil yang tercemar hingga menyebabkan LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas pada 5 Oktober 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selangor minta Negeri Sembilan siasat lanjut punca sungai tercemar

SEPANG, 5 OKT: Selangor mengarahkan Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran serta Badan Kawal Selia Air Negeri Sembilan melakukan siasatan lanjut di lokasi disyaki menjadi punca pencemaran bau hingga menyebabkan 309,687 akaun pengguna negeri ini berdepan masalah bekalan air.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata tumpuan dilakukan di kawasan Perindustian Nilai 3 memandangkan lokasi khusus tidak dapat dikenal pasti.

“Jadi mereka sedang siasat kawasan terbabit. Penguatkuasa Selangor susah untuk jalankan siasatan kerana ia di luar kawasan negeri.

“Kita harap Negeri Sembilan ambil inisiatif menyiasat punca kejadian ini. Unsur sabotaj juga akan disiasat,” katanya pada sidang media di Tasik Idaman hari ini.

Loy Sian berkata laporan polis akan dibuat berhubung kejadian selain JAS akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak melanggar Akta Kualiti Alam Sekitar.

Semalam, dua Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas susulan pencemaran bau bangkai di Sungai Semenyih dan Sungai Langat.

Berikutan itu sebanyak 274 kawasan di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.


Pengarang :