Dato’ Seri Amirudin Shari (kiri) merasmikan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) secara maya dengan disaksikan oleh (dari kanan) Ketua Pengawai Eksekutif Invest Selangor Berhad Dato’ Hasan Azhari Idris, EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim dan Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) merangkap Pengarah UPEN Dr Nor Fuad Abdul Hamid pada 14 Oktober 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor negeri pertama anjur sidang perniagaan secara maya

SHAH ALAM, 14 OKT: Selangor menjadi negeri pertama menganjur dan memimpin Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2020 secara maya yang mengumpulkan pemain industri utama.

Dato’ Menteri Besar berkata persidangan tersebut menjadi platform pemain industri utama tempatan dan antarabangsa berkongsi idea, terutama untuk menjalankan perniagaan dalam norma baharu.

“Saya sangat berharap anda semua mendapat manfaat melalui penganjuran SIBS 2020 yang bakal menawarkan akses lebih besar dan tempoh lebih lama hingga Oktober 2021.

“SIBS juga membolehkan anda semua memanfaatkan pelbagai peluang serta ruang dengan cara lebih mudah, malah boleh mengakses mengikut kelesaan masing-masing di kediaman sendiri,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika merasmikan sidang perniagaan tersebut secara maya hari ini.

SIBS 2020 dijadual berlangsung pada 14 hingga 17 Oktober meliputi empat acara besar iaitu Ekspo Antarabangsa Selangor, Konvensyen Bandaraya Pintar dan Ekonomi Digital Selangor, Persidangan Perniagaan Selangor-Asean dan Ekonomi Digital Selangor.

Persidangan tersebut dijadual kembali pada 7 hingga 10 Oktober 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Untuk maklumat lanjut mengenai sidang maya SIBS 2020, layari www.selangorbusinesshub.my

 


Pengarang :