Exco Pelaburan, Perindustrian Dan Perdagangan, Industri Kecil Dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Khim melakukan gimik perasmian sempena Majlis pelancaran program Digitalisasi Urus Tadbir Tenaga Kerja (PRODUTK) oleh Invest Selangor di Pusat Konvensyen SACC, Shah Alam pada 1 Oktober 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor perkenal program digitalisasi, bantu IKS

SHAH ALAM, 1 OKT: Kerajaan Negeri memperkenalkan Program Digitalisasi Urus Tadbir Tenaga Kerja (PRODUTK) bagi membantu syarikat industri kecil dan sederhana (IKS) supaya lebih berdaya saing dalam perniagaan selepas terkesan akibat Covid-19.

Dato’ Menteri Besar berkata inisiatif itu membolehkan IKS menjalani proses transformasi digital bagi kesemua aspek perniagaan termasuk urus tadbir dan operasi.

“Namun, kos yang besar untuk mengguna pakai teknologi Industri 4.0 dalam urus tadbir dan operasi merupakan faktor utama syarikat-syarikat IKS tidak dapat mendigitalisasikan perniagaan mereka.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri berbesar besar hati memperkenalkan PRODUTK, khusus untuk mendigitalisasikan urus tadbir tenaga kerja bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana di Selangor,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika menyampaikan ucapan perasmian secara maya di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) hari ini.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari berucap melalui rakaman video sempena Majlis pelancaran program Digitalisasi Urus Tadbir Tenaga Kerja (PRODUTK) oleh Invest Selangor di Pusat Konvensyen SACC, Shah Alam pada 1 Oktober 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Menurut Amirudin, data yang dikeluarkan SME Corp Malaysia menunjukkan 98.5 peratus perniagaan di Malaysia terdiri daripada IKS dan pada 2018 kumpulan berkenaan menyumbang sebanyak 38.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dengan jumlah sebanyak RM521.7 bilion.

“Bangga untuk saya katakan disini bahawa 20 peratus daripada jumlah tersebut adalah sumbangan daripada IKS Selangor. Ini cukup memberi satu isyarat bahawa IKS perlu diberi bantuan dengan segera kerana mereka ibarat nadi penggerak ekonomi negara,” katanya.

Amirudin berkata PRODUTK juga membolehkan syarikat beroperasi dengan selamat dan melindungi kesihatan awam selain memusatkan sistem urus tadbir serta mengautomasikan laporan tenaga kerja IKS untuk meningkatkan produktiviti syarikat.

“Saya berharap agar syarikat-syarikat IKS di Selangor mengambil peluang dengan mendaftar untuk program ini dan memulakan transformasi digital, selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri dan Pusat untuk menjadi negara yang maju dan berdaya saing dalam era Industri 4.0,” katanya.


Pengarang :