Smart Selangor Parking dibangunkan selaras komitmen Kerajaan Negeri untuk merealisasikan hasrat Negeri Pintar terulung di rantau Asean menjelang 2025. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor peruntuk RM369 juta jayakan Agenda Digitalisasi

SHAH ALAM, 30 OKT: Sejumlah RM369 juta diperuntuk bagi menjayakan agenda Negeri Pintar Ulung dan Agenda Digitalisasi dalam Belanjawan Selangor 2021.

Dato’ Menteri Besar berkata usaha itu bagi menggerak ekonomi secara holistik melalui transformasi sistem perkhidmatan, sosial, perniagaan dan keusahawanan, penciptaan nilai serta seni kreatif.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan dasar itu juga memecahkan stigma bahawa pendigitalan tidak membunuh peluang pekerjaan, sebaliknya mewujudkan peluang pekerjaan.

“Ini adalah kunci terutama mendepani cabaran pengangguran akibat Covid-19 yang bermakna kita akan berjaya mengelak daripada terjerumus kepada perangkap teknologi.

“(Situasi ini) seperti yang disebut dalam buku The Technology Trap: Capital, Labor, and Power in the Age of Automation oleh Carl Benedikt Fray,” katanya dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2021 di sini hari ini.

Amirudin berkata tumpuan ke arah pendigitalan juga sebahagian daripada agenda mencipta sumber pendapatan baharu untuk Kerajaan Negeri berlandaskan prinsip “tiada siapa tertinggal di belakang”.

Beliau berkata agenda itu tidak bersifat eksklusif kepada golongan menengah dan atasan sahaja tetapi merangkumi keseluruhan rakyat Selangor.


Pengarang :