Petugas Kesihatan Selcare memasukkan sampel ujian ke dalam beg saringan Covid-19 di Klinik Selcare, Shah Alam pada 4 Oktober 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Selangor rekod 483 kes Covid-19 dalam tempoh seminggu

SHAH ALAM, 18 OKT: Selangor merekodkan 483 kes Covid-19 dari 10 hingga 16 Oktober dengan 474 daripadanya jangkitan tempatan.

Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) berkata bilangan kes dalam tempoh tersebut menunjukkan corak menaik berbanding 216 kes pada minggu sebelumnya.

“Kenaikan ini boleh dibendung sekiranya setiap warga Selangor mengamalkan penjarakan fizikal, membersih tangan serta memakai pelitup muka pada setiap masa.

“Amalan ini penting bagi memutuskan rantaian serta jangkitan virus,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Sementara itu STFC turut mengucapkan syabas kepada petugas kesihatan kerana merekodkan 701 kes sembuh hari ini, tertinggi sejak penularan wabak di negara ini.

“Syabas buat semua warga petugas kesihatan yang disayangi!,” katanya.

Kes harian Covid-19 di Selangor menurun kepada 77 kes hari ini berbanding 159 kes semalam.

Secara keseluruhan Malaysia merekodkan 871 kes baharu, tertinggi sejak penularan wabak dikesan di negara ini.


Pengarang :