Dato’ Seri Amirudin Shari ketika sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat penuh situasi semasa pencemaran air di Command Centre Air Selangor, Kuala Lumpur pada 5 September 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Selangor tingkatkan peruntukan, tangani isu kesihatan mental – MB

SHAH ALAM, 10 OKT: Kerajaan Negeri beriltizam meningkatkan peruntukan kesihatan mental terutama aspek kesedaran awam serta kepakaran selepas melihat maklum balas positif.

Dato’ Menteri Besar berkata golongan berkaitan tidak wajar ditinggalkan malah ketidaksamarataan masyarakat tidak harus dilihat dari segi ekonomi atau kewangan.

“Kini tiba masanya untuk seluruh negara mengambil iktibar meningkatkan pelaburan kepada usaha mengurus kesihatan mental masyarakat.

“Semenjak Hari Kesihatan Mental Sedunia yang pertama pada 1992, saya lihat stigma isu ini mula berkurangan dan diberi pertimbangan serius malah penggubal dasar bersedia meneliti dan memperhalusi keperluan kesihatan awam,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam perutusan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2020 disambut hari ini.

Menurut Amirudin kesihatan mental selalu diabaikan malah Pertubuhan Kesihatan Sedunia mendapati seseorang akan membunuh diri setiap 40 saat.

“Tahun 2020 ternyata mencabar kemampuan warga dunia yang sudah lama tidak dirasai sejak tahun 1940-an susulan pandemik Covid-19 dan ternyata situasi ini merimaskan dan mengganggu kesihatan mental dan emosi kita semua.

“Itulah sebabnya saya berpendapat tema Hari Kesihatan Mental Sedunia 2020, iaitu ‘Greater Investment – Greater Access’, adalah tepat pada masanya,” katanya.

Dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin 2.0 yang diumum pada 1 April, Kerajaan Selangor mengumumkan memperuntuk RM1 juta untuk perkhidmatan kaunseling bagi menangani isu tersebut melalui kelas interaktif.


Pengarang :