Ujian saringan Covid-19 bagi persediaan menghadapi Sidang Dewan Negeri Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 25 Oktober 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sembilan kluster baharu Covid-19 dikenal pasti, semua 117 – KKM

KUALA LUMPUR, 25 OKT: Sembilan lagi kluster baharu Covid-19 dikesan di beberapa negeri hari ini, menjadikan kluster aktif Covid-19 di negara ini kini berjumlah 117, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, Sabah merekodkan pertambahan empat kluster baharu iaitu Kluster Titir, Kluster Omadal, Kluster Bandaran dan Kluster Jambul, manakala lima lagi adalah Kluster Bayan (Pulau Pinang), Kluster Mentari (Selangor, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur), Kluster Jernih (Negeri Sembilan), Kluster Seladah (Sarawak) dan Kluster Makekar (Johor, Terengganu dan Selangor).

Kluster Titir di Keningau melibatkan kes indeks (kes ke- 20,232) dikesan melalui hasil saringan kendiri pada 18 Okt dan telah dimasukkan ke Hospital Keningau.

“Sehingga 12 tengah hari tadi, sejumlah 23 individu telah disaring dan dikesan positif Covid-19 (12 kes baharu),” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan harian Covid-19 hari ini.

Bagi Kluster Omadal di Semporna melibatkan kes indeks (kes ke-21,073) yang dikesan hasil saringan individu bergejala pada 18 Okt dan telah dimasukkan ke Pusat Kuarantin PPR Bubul Ria, Semporna.

“Saringan kontak rapat mengenal pasti 20 lagi kes positif Covid-19. Sehingga 12 tengah hari tadi, sejumlah 188 individu telah disaring yang mana 21 kes dikesan positif Covid-19 (sembilan kes baharu) serta 167 individu negatif,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata bagi Kluster Bandaran di Kota Kinabalu, kes indeks (kes ke-18,471) dikenal pasti hasil saringan individu bergejala pada 15 Oktober dan telah dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth.

“Saringan kontak rapat mengenal pasti 11 lagi kes positif Covid-19. Sehingga 12 tengah hari tadi, sejumlah 41 individu disaring yang mana 12 kes dikesan positif Covid-19 (lima kes baharu) dan 29 kes dikesan negatif,” katanya.

Kluster Jambul di Sandakan pula melibatkan kes indeks (kes ke-14,932) dikenal pasti hasil saringan individu bergejala pada 9 Oktober dan telah dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent.

Katanya, saringan kontak rapat telah mengenal pasti tujuh lagi kes positif Covid-19, dan sejumlah 30 individu telah disaring dengan 20 daripadanya negatif manakala dua lagi individu masih menunggu keputusan.

Selain itu, Kluster Bayan di Seberang Perai Utara, Barat Daya dan Timur Laut, Pulau Pinang, melibatkan kes indeks (kes ke- 22,930) dikenal pasti hasil saringan individu bergejala pada 21 Okt dan telah dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang.

“Saringan kontak rapat telah mengenal pasti lima lagi kes positif Covid-19. Sejumlah 216 individu telah disaring, yang mana enam kes dikesan positif Covid-19 (dua kes baharu); 60 individu negatif; dan 150 individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata Kluster Mentari pula melibatkan daerah Petaling, Klang dan Gombak di Selangor, daerah Seremban di Negeri Sembilan dan daerah Kepong di Kuala Lumpur.

“Kluster baharu ini melibatkan kes indeks (kes ke- 24,394) yang dikenal pasti hasil saringan individu bergejala pada 22 Okt dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Saringan kontak rapat telah mengenal pasti 16 lagi kes positif Covid-19. Sejumlah 93 individu telah disaring, yang mana 17 kes dikesan positif Covid-19 (lima kes baharu); dan 10 kes dilaporkan negatif; serta 66 individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Kluster Jernih di Seremban, Negeri Sembilan melibatkan kes indeks (kes ke- 24,435 hingga kes ke- 24,438) dikenal pasti hasil saringan sebelum pulang ke negara asal pada 22 Okt dan mereka telah dimasukkan ke Hospital Rembau.

“Saringan kontak rapat telah mengenal pasti 11 lagi kes positif Covid-19. Sejumlah 76 individu telah disaring, yang mana 15 kes dikesan positif Covid-19 (11 kes baharu); dan 61 individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Katanya, Kluster Seladah di Kuching dan Serian, Sarawak, melibatkan kes indeks (kes ke- 24,448) dikenal pasti hasil saringan individu bergejala pada 22 Okt dan telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak.

“Saringan kontak rapat telah mengenal pasti enam lagi kes positif Covid-19. Sehingga 12 tengah hari tadi, sejumlah 18 individu telah disaring, yang mana tujuh kes dikesan positif Covid-19 (empat kes baharu); empat individu dikesan negatif; dan tujuh individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Kluster Makekar melibatkan daerah Johor Bahru dan Kulai di Johor, daerah Kemaman, Dungun, Kuala Terengganu dan Marang di Terengganu serta daerah Klang di Selangor.

Katanya, indeks bagi kluster ini (kes ke-23,800) dikesan positif Covid-19 hasil saringan di tempat kerja pada 18 Oktober dan dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu, Kuala Berang.

“Saringan kontak rapat mengenal pasti sembilan lagi kes positif Covid-19. Sehingga 12 tengah hari tadi, sejumlah 132 individu telah disaring, yang mana 10 kes dikesan positif Covid-19 (lapan kes baharu); 106 individu dikesan negatif Covid-19; dan 16 individu masih menunggu keputusan,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :