AGENSISELANGOR

Seorang daripada empat mangsa bot karam ditemukan pagi tadi

SHAH ALAM, 10 OKT: Seorang daripada empat mangsa dua bot nelayan yang karam pada Khamis lepas di perairan Selangor ditemukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada kira-kira 11.40 pagi tadi.

Pengarah Maritim Negeri Selangor Kapten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata mangsa dijumpai di kedudukan 23 batu nautika barat daya Kuala Selangor oleh aset Tentera Laut Diraja Malaysia iaitu KD Mahameru dalam operasi mencari dan menyelamat.

“Mayat mangsa dibawa ke Jeti Kuala Selangor oleh bot Pasukan Polis Marin untuk tindakan lanjut. Tiga lagi mangsa masih belum dijumpai dan operasi diteruskan sehingga 7 malam ini.

“Sektor operasi pencarian kesemua mangsa melibatkan 94 batu nautika di Tanjung Sepat, Sepang manakala 214 batu nautika di Kuala Selangor melibatkan sebuah pesawat udara, lima bot daripada agensi lain serta bantuan satu unit dron daripada badan bukan kerajaan,” menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pesawat APMM jenis AS 365N3 masih memantau lokasi kejadian namun tiada sebarang penemuan membabitkan tiga lagi mangsa dilaporkan.

Semalam, empat lelaki dilaporkan hilang dalam dua kejadian bot nelayan karam di perairan Kuala Selangor dan Tanjung Sepat.

– BERNAMA


Pengarang :