Orang ramai mematuhi arahan menggunakan pelitup muka selepas kerajaan mewajibkan penggunaannya di tempat awam dan sesak bagi mengawal penularan Covid-19. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Sepang bertukar zon kuning, kes aktif di Petaling meningkat kepada 63

SHAH ALAM, 8 OKT: Sepang bertukar kepada zon kuning setelah kes aktif di daerah itu meningkat kepada 20 berbanding 16 kes kelmarin, kata Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC).

Sementara itu, lima daerah di negeri ini yang merekodkan zon kuning pula mencatatkan peningkatan kes iaitu Petaling dengan 63 kes, Hulu Langat (44), Gombak (16), Kuala Langat (4) dan Kuala Selangor (3).

Namun kes aktif di Hulu Selangor kekal sama dengan 20 kes aktif seperti kelmarin.

Klang yang mencatatkan zon merah merekodkan peningkatan kes aktif iaitu dari 77 kes kelmarin kepada 79 kes semalam.

Hanya Sabak Bernam masih kekal sebagai zon hijau berikutan tiada kes aktif dilaporkan.

“Selangor merekodkan 249 kes aktif iaitu individu yang boleh menjangkiti orang lain dan 133 kes melibatkan individu yang mendapat jangkitan di negeri lain.

“Pada ketika ini, warga Selangor dituntut untuk sentiasa mematuhi norma baru dan tatacara operasi piawai (SOP) Kementerian Kesihatan (KKM) serta STFC. Kealpaan dan kelalaian melaksanakan tanggungjawab ini bakal menerima kesan yang amat buruk pada masa hadapan,” katanya.

Semalam, Selangor merekodkan 20 kes baharu positif Covid-19 dan terdapat satu kluster baharu iaitu Kluster Bah Puchong.


Pengarang :