Selangorkini
Reaksi seorang penduduk yang meninjau proses saringan ujian Covid-19 yang dijalankan oleh petugas kesihatan di kawasan yang dikenakan PKPD ketika tinjauan di Flat Sungai Emas, Kuala Langat pada 29 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENSI SELANGOR

Sepang rekod kes Covid-19 tertinggi, enam daerah zon merah

SHAH ALAM, 29 OKT: Sepang menjadi daerah tertinggi merekodkan kes baharu Covid-19 hari ini dengan 59 kes, menurut data Bilik Gerakan Negeri Selangor (BGNS).

Data menunjukkan 49 kes dilaporkan di mukim Labu membabitkan 30 saringan pekerja diikuti saringan kontak rapat kes positif (15), saringan bergejala (tiga) dan saringan prapembedahan (satu).

“Lapan kes di mukim Dengkil dengan lima daripadanya melibatkan saringan pekerja manakala masing-masing satu kes saringan kontak rapat, saringan tempat kerja dan saringan swasta.

“Mukim Sepang pula merekodkan dua kes iaitu masing-masing satu kes saringan kontak rapat dan saringan pekerja,” katanya.

Sementara itu, Petaling merekodkan 22 kes diikuti Hulu Langat (18), Gombak (17), Klang (11), Kuala Langat (lima) dan kes import (tiga).

Sebanyak enam zon masih dikategori merah melibatkan Sepang, Petaling, Hulu Langat, Klang, Gombak dan Kuala Langat, manakala Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Sabak Bernam berstatus zon kuning.

Sehingga 12 tengah hari tadi, Selangor mencatat 4,495 kes wabak dengan 1,105 daripadanya aktif dan angka kematian kekal 26 orang.

Hari ini, jangkitan Covid-19 di negeri itu kembali tiga digit apabila mencatat 135 kes dengan dua kluster dikesan iaitu kluster Taman Laut dan kluster Bah Medan.


Pengarang :