Petugas Sunway Medical Centre melakukan proses ujian saringan Covid-19 melalui Cov Shield kepada orang ramai yang hadir bagi membuat saringan bersasar pada 8 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Separuh pesakit Covid-19 tidak bergejala ketika dikesan positif

SHAH ALAM, 22 OKT: Lebih separuh iaitu 50.2 peratus individu tidak mengalami gejala batuk, demam dan sakit tekak ketika dikesan positif Covid-19.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata keputusan diperoleh Institut Penyelidikan Klinikal selepas menjalankan kajian melibatkan 5,889 pesakit pandemik itu.

“Satu daripada dua pesakit Covid-19 adalah tanpa gejala pada masa mereka dikesan positif.

“31.6 peratus kes bergejala tidak mengalami radang paru-paru, 13.6 peratus menghidapi radang namun tidak sesak nafas dan 3.5 peratus pula kedua-duanya. Terdapat 1.1 peratus pesakit tenat ketika dikesan positif wabak itu,” katanya menerusi Facebook.

Susulan itu, KKM meminta masyarakat yang mendekati pesakit Covid-19 supaya menghubungi pihaknya atau berjumpa doktor berhampiran bagi tindakan lanjut.

“Sila pakai pelitup muka di tempat awam supaya dapat mengelakkan jangkitan virus itu,” katanya.


Pengarang :