Dato’ Teng Chang Khim. Foto ARKIB SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Sepuluh peniaga kecil kongsi kejayaan bangkit selepas PKP

SHAH ALAM, 15 OKT: Kejayaan 10 usahawan kecil dan sederhana (PKS) di negeri ini bangkit semula susulan penularan Covid-19 bakal dikongsi dalam dialog khas.

EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim berkata sesi pertama Dialog Industri: Pemulihan Pasca Pandemik bakal disiarkan pada 20 Oktober secara dalam talian.

“Sesi dialog ini disertai usahawan pelbagai bidang antaranya e-dagang, peruncitan, pelancongan, perhotelan, makanan dan minuman, pertanian, perikanan, pengiklanan, perfileman serta logistik.

“Antara fokus ialah bagaimana inisiatif dilaksanakan Kerajaan Negeri membantu memulihkan perniagaan selepas Perintah Kawalan Pergerakan selain memastikan peniaga kekal bersaing dalam krisis Covid-19 yang belum berakhir,” katanya.

Beliau berucap pada Konvensyen Bandaraya Pintar dan Ekonomi Digital Selangor 2020 yang dianjurkan secara maya hari ini.

Chang Khim berkata program itu turut membuka peluang kepada semua pihak berkongsi idea dan bertukar pandangan mengenai cabaran semasa serta masa hadapan.

“Kejayaan hanya dapat diraih apabila semua pihak duduk bersama, jadi saya mengajak pemain industri, pemegang taruh, dewan perniagaan dan pertubuhan bukan kerajaan untuk bersama Kerajaan Negeri menjayakan program ini,” katanya lagi.

 


Pengarang :