Bangunan Majlis Bandaraya Subang Jaya pada 20 Oktober 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Sesi dialog awam diteruskan demi pembangunan Subang Jaya

SHAH ALAM, 22 OKT: Sesi dialog awam bersama Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) akan diteruskan bagi mendapatkan pandangan penduduk demi kemajuan  Subang Jaya sebagai sebuah bandar raya.

Ahli majlisnya berkata pelbagai aspek diteliti menerusi perkongsian idea antara kedua pihak dan mereka turut mendapat penjelasan mengenai sesuatu pembangunan dirancang.

“Kita sudah buat sesi dialog awam bersama wakil penduduk dalam merencana Belanjawan MBSJ 2021. Mereka mengemukakan cadangan projek perlu didahulukan.

“Ia memberi kepuasan kerana pandangan penduduk diambil kira dengan semua cadangan itu akan dibincangkan di peringkat pentadbiran,” kata Kamarul Hisham Yeop Hashim ketika dihubungi.

Beliau yang berkhidmat untuk penggal pertama berkata harapan penduduk pasti tinggi untuk MBSJ terus meningkatkan mutu perkhidmatan.

Kamarul Hisham sendiri merangka beberapa program seperti pembukaan lebih banyak kebun komuniti dan kitar semula supaya jumlah sampah dapat dikurangkan demi manfaat penduduk setempat.

Lee Jen Uyin pula berkata masyarakat mengharapkan MBSJ dapat mempertingkatkan perkhidmatan bersesuaian dengan status Subang Jaya sebagai sebagai sebuah bandar raya.

“MBSJ bersedia untuk melaksanakannya demi memastikan keselesaan penduduk terutama dalam menyelesaikan isu berbangkit seperti kebersihan dan keselamatan.

“Pengangkutan awam yang menghubungkan pengguna ke kawasan komersil perlu terius dipertingkatkan kerana itu yang mereka mahukan

“Kita juga akan memberi tumpuan kepada aktiviti kebun komuniti dan kini mempunyai hampir 50. Saya yakin semua matlamat disasarkan mampu dicapai MBSJ dengan kerjasama penduduk,” kata Ahli Majlis Zon 3.


Pengarang :