Sultan Selangor ketiga, Almarhum Sultan Muhammad Shah Ibni Almarhum Sultan Ibrahim Shah. Foto: Facebook Selangor Royal Office
RENCANA

Siapa Raja Laut?

Tahukah anda, Raja Laut yang namanya diabadikan di sebatang jalan di Kuala Lumpur sebenarnya adalah seorang pembesar di Negeri Selangor.

Raja Laut dilahirkan pada tahun 1850 dan merupakan putera kedua Sultan Selangor ke-3, Almarhum Sultan Muhammad Shah Ibni Almarhum Sultan Ibrahim Shah, dan juga anak saudara kepada Sultan Selangor ke-4, Sultan Abdul Samad Ibni Almarhum Tengku Abdullah.

Almarhum mendapat nama gelaran ‘Laut’ kerana dikatakan dilahirkan ketika bondanya berada di perairan sekitar Lukut.

Almarhum tersohor sebagai ketua masyarakat Melayu di Kuala Lumpur pada tahun 1880 dan antara individu yang telah menyelesaikan banyak masalah yang timbul pada ketika itu.

Almarhum yang tinggal di Kampung Rawa, pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Negeri Selangor dan bertindak sebagai hakim dan penghulu di Kuala Lumpur.

Raja Laut turut menjadi pengasas kepada penubuhan Kuala Lumpur Sanitary Board pada tahun 1890.
Almarhum juga bertanggungjawab menubuhkan Sekolah Melayu pertama di Kuala Lumpur, di mana Almarhum telah menghantar putera tunggalnya, Raja Alang ke sekolah berkenaan.

Pada tahun 1898, Almarhum dimasyhurkan sebagai Raja Muda Selangor dan berpindah menetap di Batu Road (kini Jalan Tuanku Abdul Rahman).

Jalan Raja Laut yang terletak di Kuala Lumpur adalah menghargai pelbagai sumbangan besar Raja Laut yang dilahirkan pada 1850 dan merupakan putera kedua Sultan Selangor ke-3, Almarhum Sultan Muhammad Shah Ibni Almarhum Sultan Ibrahim Shah yang bertanggungjawab antaranya menubuhkan sekolah Melayu pertama di Kuala Lumpur.
Foto Facebook Selangor Royal Office

Pelantikan Almarhum itu dibuat selepas Raja Muda Sulaiman dimasyhurkan sebagai Sultan Selangor ke-5 bergelar Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa.

Bagaimanapun, Almarhum tetap menggunakan gelaran ‘Raja Muda Laut’ sehingga tahun 1903.

Apabila Kesultanan Selangor mengurniakan gelaran Tunku Mahkota untuk Almarhum sebagai pewaris takhta kepada Tengku Musa Eddin Ibni Sultan Alaeddin Sulaiman Shah, Raja Muda Laut tetap mengekalkan gelaran ‘Raja Muda’ sehingga kemangkatan Almarhum pada 9 Jun 1913.

Almarhum dimakamkan di Tanah Perkuburan Kampong Gonggang (kini dikenali sebagai Tanah Perkuburan Jalan Ampang) Kuala Lumpur.

Sebagai tanda penghargaan dan mengingati jasa dan bakti Almarhum, nama Raja Laut diabadikan sebagai nama sebatang jalan di Kuala Lumpur yang bersambung dengan Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Nota: Pada tahun 1974, DYMM Sultan Selangor ke-8, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj telah berkorban menyerahkan kawasan Kuala Lumpur kepada Kerajaan Persekutuan untuk dijadikan ibu negara Malaysia. Ketika itu, Kuala Lumpur telah bersetuju agar sejarah-sejarah berkaitan negeri Selangor tidak dipadamkan sebagai mengenang budi dan jasa Baginda.

Justeru, terdapat beberapa lagi nama jalan dan monumen di ibu negara yang diabadikan dengan nama-nama bersejarah dari Negeri Selangor, termasuk Jalan Raja Laut.

Terima kasih diucapkan kepada Menteri Wilayah Persekutuan dan pihak-pihak terlibat yang tidak jadi seperti kacang lupakan kulit, dan telah memutuskan untuk mengekalkan nama Jalan Raja Laut dalam usaha memelihara nilai-nilai sejarah negeri Selangor.

 

(sumber: Facebook Selangor Royal Office)


Pengarang :