Petugas Dewan Negeri Selangor dan Media melakukan ujian saringan Covid-19 bagi persediaan menghadapi Sidang Dewan Negeri Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 25 Oktober 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
SELANGOR

Speaker: Semua individu bakal hadir sidang DNS negatif Covid-19

SHAH ALAM, 30 OKTOBER: Kesemua 1,016 individu yang akan menghadiri sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) bermula hari ini negatif Covid-19, kata Speaker.

“Syukur kita terima berita gembira dan semuanya negatif Covid-19. Terima kasih kepada semua yang memberikan kerjasama baik bagi membolehkan sidang DNS berjalan lancar.

“Namun tatacara operasi piawai (SOP) sepanjang sidang berlangsung adalah ketat, ini kerana kita masih berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Kerajaan Selangor komited untuk terus mencegah wabak ini,” kata Ng Suee Lim kepada SelangorKini.

Bermula 25 Oktober hingga 26 Oktober lalu, kesemua individu membabitkan wakil rakyat, kakitangan kerajaan, pegawai dan petugas media menjalani ujian saringan Covid-19 bagi memastikan keselamatan dan kelancaran persidangan.

Saringan itu juga dilakukan disebabkan penularan beberapa kluster tempatan di Selangor dan diisytihar di bawah PKPB.

Pada 7 Julai lalu, Kerajaan Negeri turut menjalankan saringan yang sama terhadap individu yang menghadiri sidang DNS pada 13 Julai .

 


Pengarang :