Speaker Dewan Negeri Selangor, Ng Suee Lim pada sidang media selepas melakukan saringan Covid-19 bagi persediaan menghadapi Sidang Dewan Negeri Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 25 Oktober 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Speaker: Sidang DNS dipendekkan jika kes Covid-19 membimbangkan

SHAH ALAM, 25 OKT: Persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) yang dijadualkan berlangsung selama dua minggu mungkin dipendekkan sekiranya situasi pandemik Covid-19 di Selangor membimbangkan.

Speaker, Ng Suee Lim berkata keputusan itu turut bergantung dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sedang berlangsung ketika ini.

“Mengikut jadual, persidangan bermula dari Jumaat ini iaitu 30 Oktober dan berlangsung selama dua minggu. Namun sekiranya ada halangan tertentu termasuk dengan peningkatan Covid-19, mungkin masa terpaksa dipendekkan.

Petugas Dewan Negeri Selangor dan pihak media melakukan saringan Covid-19 bagi persediaan menghadapi Sidang Dewan Negeri Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 25 Oktober 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Ini kerana kita mahu mengambil langkah berjaga-jaga supaya keselamatan semua yang terlibat dengan persidangan dapat dikawal sebaiknya,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas menjalani ujian saringan Covid-19 di Bangunan SUK, hari ini.

Suee Lim turut memaklumkan seramai 1,200 individu termasuk wakil rakyat, kakitangan kerajaan, petugas dan pengamal media menjalani ujian saringan itu bermula hari ini sehingga esok.

Katanya hanya yang disahkan negatif wabak itu sahaja dibenarkan menyertai persidangan kali ini.

“Saya jangkakan keputusan ujian ini akan diterima sebelum Rabu, harap semuanya berjalan lancar,” katanya.

Bermula Jumaat ini, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari akan membentangkan Belanjawan Selangor 2021 di DNS.


Pengarang :