Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) memenangi Anugerah Amalan Terbaik bagi kategori Agensi Tadbir Urus Bandar Pintar Membangun di Asia Tenggara 2019 daripada Frost & Sullivan. Anugerah itu diterima Ahli Lembaga Pengarah SSDU, Dr. Mohd Zulkufli Zakaria, Pengarah Urusan SSDU, Dr. Fahmi Ngah dan Pengarah Projek dan Pembangunan Perniagaan SSDU, Mazlan Mahadi pada majlis di Hotel The St. Regis Singapura pada 14 November 2019. Foto: Facebook: SSDU
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

SSDU diiktiraf Agensi Urus Tadbir Bandar Pintar Terbaik Asia Tenggara 2020

SHAH ALAM, 7 OKT: Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) diiktiraf sebagai Agensi Urus Tadbir Bandar Pintar Terbaik Asia Tenggara 2020 oleh perunding terkenal Global, Frost & Sullivan.

Pengurus Kanan dan Ketua Wilayah Frost & Sullivan, Subbu Bettadapura berkata pemilihan itu dibuat berdasarkan enam kriteria ditetapkan.

“Ia termasuk wawasan untuk menjadi Bandar Pintar menjelang 2025, menangani keperluan yang belum berjaya dipenuhi, strategi lautan biru (amalan kelestarian), pelaksanaan amalan terbaik, pengalaman penduduk dan ekuiti jenama.

“Berdasarkan prestasi keseluruhannya yang kukuh, SSDU berjaya diiktiraf Agensi Pentadbiran Bandar Raya Terbaik Asia Tenggara 2020,” katanya menerusi surat pada 5 Oktober kepada Pengarah Urusan SSDU Dr Fahmi Ngah.

Subbu berkata Frost & Sullivan turut menyedari kejayaan itu diperoleh hasil kerjasama semua pihak termasuk pekerja, pelanggan dan pelabur.

“Sekali lagi tahniah dan kami mengharapkan supaya SSDU lebih berjaya pada masa hadapan,” katanya.

Tahun lalu SSDU turut memenangi Anugerah Amalan Terbaik bagi kategori Agensi Tadbir Urus Bandar Pintar Membangun di Asia Tenggara 2019 daripada Frost & Sullivan.

SSDU adalah anak syarikat milik penuh Menteri Besar Selangor (Incorporated) (MBI) yang diberikan mandat untuk menerajui pembangunan program Smart Selangor, sekali gus menjadikan negeri itu sebagai “The Premier Regional Smart State” di rantau ASEAN menjelang 2025.

Program Smart Selangor bermatlamat menjadikan Selangor sebagai negeri serantau yang lebih produktif dan berdayahuni selain memastikan kemampanan serta pemuliharaan alam sekitar seiring dengan pembangunan dicapai.


Pengarang :