Anggota Bomba dan Penyelamat zon Petaling melakukan melakukan sanitasi di Pangsapuri Damansara Bistari bagi mengekang daripada penularan wabak Covid-19 yang semakin meningkat jumlah kes semasa ketika tinjauan pada 14 Oktober 2020. Foto: BERNAMA
AGENSISELANGOR

STFC: Penularan tempatan Covid-19 naik, Petaling rekod kes tertinggi

SHAH ALAM, 24 OKT: Angka kes baharu Covid-19 di Selangor membabitkan penularan tempatan meningkat kepada 1,225 dalam tempoh dua minggu sejak 11 hingga 24 Oktober.

Pasukan Petugas Covid-19 Selangor (STFC) memaklumkan Petaling yang berstatus zon merah merekodkan jumlah jangkitan tertinggi iaitu 514 kes dengan 273 daripadanya di mukim Sungai Buloh.

“Bagi daerah sama, mukim Petaling merekodkan 126 kes diikuti Damansara (96) dan Bukit Raja (19),” katanya menerusi Facebook hari ini.

Klang yang turut berstatus zon merah merekodkan kumulatif kes kedua tertinggi dengan 197 sama seperti Hulu Langat diikuti Gombak (126), Kuala Langat (93) dan Sepang (72).

STFC memaklumkan Hulu Selangor yang berstatus zon kuning pula merekodkan 14 kes dan Kuala Selangor mencatatkan 12 kes manakala Sabak Bernam kekal zon hijau dengan sifar kes.

Selangor merekodkan 76 kes baharu sehingga jam 12 tengah hari tadi, meningkat berbanding 62 kes semalam menjadikan jumlah keseluruhan 3,880 kes.

Selain itu, satu kluster baharu dikesan di Selangor iaitu kluster Bah Kayu dengan 17 kes disahkan positif wabak setakat ini.


Pengarang :