Petugas kesihatan memakai sut perlindungan diri (PPE) berada di dalam khemah pengambilan sampel bagi saringan Covid-19 kepada orang ramai ketika tinjauan di Klinik Kesihatan Membedai Labuan pada 6 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENSISELANGOR

STFC: Rawang, Ampang Pecah kini zon kuning

SHAH ALAM, 12 OKT: Mukim Rawang di Gombak dan Ampang Pecah di Hulu Selangor menjadi zon kuning selepas mencatatkan kes baharu Covid-19 hari ini.

Pasukan Petugas Covid-19 Selangor (STFC) memaklumkan dua kes baharu direkodkan di Rawang dan satu di Ampang Pecah daripada 69 kes keseluruhan di negeri ini sehingga jam 12 tengah hari.

“Selangor merekodkan 329 kes aktif iaitu individu yang boleh menjangkiti orang lain dan 109 kes melibatkan individu yang mendapat jangkitan di negeri lain,” katanya menerusi Facebook hari ini.

STFC menjelaskan berdasarkan situasi terkini, perkara paling utama ialah memutuskan rantaian jangkitan dengan mengamalkan norma baharu dan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan.

“Semua warga Selangor memainkan peranan, tidak kisah sama ada berisiko atau tidak, amalkan norma baru dengan sepenuh hati.

“Amalkan dan sentiasa saling berpesan untuk menjaga penjarakan fizikal, basuh tangan dengan kerap dan pakai pelitup muka,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri memaklumkan Klang merekodkan jumlah kes positif baharu tertinggi dengan 35 kes diikuti Petaling (14), Hulu Langat (12), Gombak (5), Hulu Selangor (2) dan Kuala Langat (satu).

Selain itu, Kementerian Kesihatan Malaysia turut mengesan satu kluster baharu dinamakan kluster Bah Tropicana di Petaling.


Pengarang :