AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan mahu pemimpin utamakan rakyat, akhiri kemelut politik

SHAH ALAM, 20 OKT: Duli Yang Maha (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bimbang dengan kemelut politik negara yang dilihat tiada kesudahan, selain menimbulkan keresahan rakyat.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Lela Bakti Mohamad Munir Bani berkata baginda dukacita apabila ahli politik seolah-olah tidak peduli dengan kesusahan rakyat yang terjejas akibat penularan Covid-19.

“Rakyat mula bosan dan meluat dengan segala tindak-tanduk ahli politik yang sentiasa dilihat bercakaran dan bertelingkah di dalam merebut kuasa pemerintahan negara,” katanya menerusi Facebook Selangor Royal Office.

Menurut Mohamad Munir, baginda mahu pemimpin mengutamakan penderitaan rakyat dalam menggalas tanggungjawab dan menyelesaikannya secara drastik dan efektif.

“Baginda mahu semua pihak terutama ahli politik untuk sentiasa bekerjasama tanpa mengira pendirian parti masing-masing dan sentiasa fokus dalam membantu rakyat dan negara menangani penyebaran wabak Covid-19 dan membina semula ekonomi yang teruk terjejas,” katanya.

Pada 16 Oktober lalu, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menitahkan wakil rakyat mempamerkan kematangan dalam berpolitik dan menjiwai keluh kesah rakyat tanpa mengabaikan kesejahteraan mereka.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah menegaskan ahli politik seharusnya tidak mengakhiri perbezaan pendapat dengan permusuhan, sebaliknya menyelesaikan permasalahan melalui perundingan dan proses perundangan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

 


Pengarang :