Foto Sumber: Facebook Selangor Royal Office
BERITA UTAMASELANGOR

Sultan titah elak keluar rumah jika tiada keperluan

SHAH ALAM, 19 OKT: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, bertitah supaya rakyat terus berada di rumah serta tidak keluar jika tiada keperluan mendesak.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor memaklumkan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bimbang terhadap peningkatan kes Covid-19 di negeri ini dan Malaysia khususnya yang telah mencapai jumlah tertinggi sejak Mac lalu.

“Baginda menyeru rakyat agar terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dan tidak ingkar arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Majlis Keselamatan Nasional,” kata Datuk Muhamad Munir Bani dalam kenyataan.

Muhamad Munir berkata Sultan Sharafuddin amat menghargai usaha doktor dan jururawat serta petugas barisan hadapan yang bersungguh-sungguh memberi rawatan kepada pesakit Covid-19.

“Oleh yang demikian, janganlah membebankan petugas barisan hadapan kerana Baginda mendapat tahu terdapat ramai rakyat masih tidak mematuhi arahan dan melanggar SOP, ” katanya.

Beliau berkata Baginda turut meminta individu yang pernah ke lokasi berisiko atau zon merah segera melaporkan kepada pusat kesihatan terdekat untuk melakukan saringan dan tidak menyembunyikan status kesihatan.


Pengarang :