AGENDANASIONAL

Suruhanjaya Sekuriti terima lebih banyak aduan pelaburan palsu tahun ini

KUALA LUMPUR, 23 OKT: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menerima 370 pertanyaan dan aduan mengenai skim pelaburan haram setakat akhir September 2020 berbanding 317 bagi keseluruhan tahun lepas.

Pengerusi, Datuk Syed Zaid Albar berkata sejak akhir-akhir ini, terdapat kemunculan ‘penipuan syarikat klon’ iaitu penipu akan meniru entiti berlesen yang sah untuk memperdayakan pelabur agar yakin mereka melabur dengan syarikat yang sah.

Beliau berkata berdasarkan hasil dapatan SC, promosi bagi penipuan itu lazimnya dijalankan menerusi saluran media sosial – dengan penggunaan saluran WhatsApp dan Facebook adalah paling meluas.

“Pelabur yang mendapat tawaran peluang pelaburan melalui pesanan WhatsApp atau saluran Facebook perlu mengambil langkah berwaspada.

“Saya ingin menasihati pelabur supaya sentiasa mengesahkan status individu dan entiti berkenaan dengan pihak SC sebelum melaburkan wang dalam sebarang skim pelaburan,” katanya semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada InvestSmart Fest 2020 secara maya anjuran SC di sini, hari ini.

Syed Zaid berkata bagi enam bulan pertama tahun ini sahaja, rakyat Malaysia dilaporkan mengalami kerugian berjumlah RM914 juta susulan penipuan.

Beliau berkata kelemahan pelabur sehingga terdedah kepada penipuan ini mungkin sebahagiannya disebabkan harapan tidak realistik terhadap pulangan daripada pelaburan.

Berdasarkan kaji selidik SC pada awal tahun ini, ia menunjukkan majoriti pelabur di Malaysia mempunyai harapan tidak realistik iaitu 24 hingga 30 peratus pulangan setahun daripada pelaburan mereka, katanya.

Beliau berkata pada masa ini, keadaan mudah terdedah pelabur kepada penipuan ini juga ditambah dengan pencarian keuntungan dalam persekitaran kadar faedah rendah.

“Memandangkan penipuan pelaburan haram meningkat ketara, SC baru-baru ini telah menubuhkan Pasukan Petugas dalaman untuk menumpukan penyiasatan dan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pelaku.

“Kami menggesa pelabur supaya memainkan peranan mereka dengan tampil ke hadapan memberi maklumat kepada SC sekiranya telah didatangi sebarang orang atau pihak yang menawarkan skim ini,” katanya.

InvestSmart Fest 2020 merupakan acara pendidikan pelabur utama tahunan SC.

Ia mengetengahkan barisan pakar industri terkemuka untuk berkongsi pandangan mengenai peluang pelaburan, pengurusan kewangan, pelan persaraan, bagaimana pendigitalan memberi kesan kepada keputusan pelaburan di samping mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada apabila melabur.

Bagi edisi tahun ini, ia yang diadakan selama tiga hari mulai hari ini, secara maya buat kali pertama, telah menarik lebih 5,000 peserta setakat ini.

-BERNAMA

 


Pengarang :