AGENDASUKANKINI

Syarikat swasta, korporat diharap bantu promosi Selangor FC

SHAH ALAM, 5 OKT: Kerajaan Negeri berharap lebih banyak syarikat swasta dan korporat terlibat mempromosi dan meningkatkan kekuatan pasukan bola sepak Selangor.

EXCO pembangunan generasi muda dan sukan berkata penswastaan pasukan bola sepak profesional di Malaysia sejak 2016 merupakan usaha yang baik dalam memajukan serta mengangkat martabat sukan tempatan ke peringkat lebih tinggi.

“Kerajaan Negeri mengharapkan menerusi langkah penswastaan ini yang diluluskan pada 29 September lalu, ia dapat memberi nafas baharu serta melonjak prestasi Selangor FC dalam persada liga tempatan dan antarabangsa pada musim baharu nanti,” kata Mohd Khairuddin Othman ketika dihubungi.

Red Giants dikenali sebagai Kelab Bola Sepak Selangor atau Selangor FC selepas penswastaannya diluluskan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Ia mengekalkan logo sama dengan menggantikan perkataan persatuan kepada kelab.

Menerusi perubahan ini, Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) berperanan dalam program pembangunan akar umbi seperti pendidikan jurulatih, penyeliaan lesen dan mutu pengadil di peringkat negeri.

Selain itu, FAS berperanan membangunkan liga dan kejohanan di peringkat sekolah, bola sepak wanita, kelab bola sepak amatur dan kelab ahli gabungan di Selangor.

Sementara itu, pemerkasaan skuad utama negeri, Selangor 2, pasukan Futsal Selangor serta program pembangunan skuad Piala Presiden, Piala Belia dan pasukan Wanita Selangor bakal menjadi fokus utama Selangor FC di bawah kendalian Red Giants FC Sdn Bhd.


Pengarang :