Foto Facebook Amirudin Shari
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Tabiat manusia dan cabaran kesihatan mental

Coretan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia pada 10 Oktober 2020

Menjalani pengasingan kendiri semenjak seminggu yang lalu merupakan satu pengalaman yang berbeza. Untuk berada di rumah bersama anak dan isteri tetapi masih berjauhan terasa susah untuk dijelaskan.

Walaupun saya menyokong penuh usaha ke arah pendigitalan dan teknologi alam maya, namun tidak dinafikan betapa berbezanya urusan kerja dan kegiatan bermesyuarat secara maya.

Tempoh ini membuatkan saya menyedari betapa sukar tabiat manusiawi diubah teknologi; manusia dicipta untuk hidup berkomuniti, bukan seperti kera sumbang.

Saya semakin menghargai cabaran yang dihadapi petugas barisan hadapan kita. Para doktor dan jururawat masing-masing dekat tetapi pada masa yang sama merasa jauh daripada anak dan ibu bapa mereka.

Situasi begini sudah pasti merimaskan dan mengganggu kesihatan mental dan emosi kita semua.

Tahun 2020 ternyata mencabar kemampuan warga dunia yang sudah lama tidak dirasai sejak tahun 1940-an.

Petugas Kesihatan Selcare membuat saringan Covid-19 kepada orang ramai yang baru pulang dari Sabah berikutan peningkatan kes wabak berkenaan di Klinik Selcare, Shah Alam pada 4 Oktober 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Petugas kesihatan menyabung nyawa bagi menyelamatkan jiwa. Ibu bapa pula risau di tempat kerja memikirkan kesihatan dan keselamatan anak mereka di sekolah. Sementara para pelajar masih menghadapi cabaran dalam menyesuaikan diri kepada pendidikan secara kendiri.

Ada juga yang kehilangan teman atau ahli keluarga disebabkan pandemik Covid-19 hingga tidak sempat mengucapkan selamat tinggal buat kali terakhir.

Itulah sebabnya saya berpendapat tema Hari Kesihatan Mental Sedunia 2020, iaitu ‘Greater Investment – Greater Access’, adalah tepat pada masanya.

Kesihatan mental adalah aspek yang paling terabai dalam kesihatan awam. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, kira-kira satu orang akan membunuh diri dalam setiap 40 saat.

Keadaan ini menjadi lebih mencabar apabila negara di seluruh dunia hanya membelanjakan sekitar dua peratus daripada belanjawan keseluruhan mereka bagi aktiviti dan program kesihatan mental.

Perbincangan meluas

Namun, ada beberapa aspek positif yang harus diakui.

Semenjak Hari Kesihatan Mental Sedunia yang pertama pada tahun 1992, saya melihat perbincangan positif melibatkan aspek kesihatan mental yang semakin meluas.

Orang yang memerlukan bantuan kesihatan mental lebih terbuka untuk meluahkan cabaran dan pandangan mereka. Stigma terhadap isu ini juga sudah mula berkurangan dan diberi pertimbangan serius melalui kaca mata kesihatan awam.

Malah penggubal dasar juga lebih bersedia meneliti dan memperhalusi keperluan dasar kesihatan awam.

Kini, tiba masanya untuk negara di seluruh dunia mengambil iktibar dalam meningkatkan pelaburan kepada usaha-usaha mengurus kesihatan mental masyarakat kita.

Peruntukan negeri

Dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM1 juta bagi aktiviti, program dan inisiatif yang dikhususkan ke arah kesihatan mental, terutamanya kepada golongan yang amat memerlukannya.

Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap pada sidang media selepas mengumumkan Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Covid-19 di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar, Seksyen 7 Shah Alam pada 20 Mac 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Program-program yang dijalankan secara maya mendapat sambutan yang positif namun terdapat beberapa aspek yang boleh ditambahbaik.

Menyedari keperluan ini, Kerajaan Negeri beriltizam untuk meningkatkan peruntukan bagi program kesihatan mental di Selangor yang menjurus kepada aspek kesedaran awam secara umum serta kepakaran yang memerlukan penelitian khusus.

Ini hanya akan dapat direalisasikan secara menyeluruh melalui kerjasama rapat dengan komuniti tempatan, selaras dengan syor Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Yang penting, ketidaksamarataan dalam masyarakat tidak harus dilihat dari segi ekonomi atau kewangan sahaja. Tiada sesiapa yang wajar ditinggalkan dalam usaha membina masyarakat yang sihat mentalnya.


Pengarang :