Kerajaan memaklumkan sebanyak 298 sekolah di daerah Petaling ditutup bermula 12 hingga 25 Oktober 2020 berikutan daerah itu dikelaskan sebagai Zon Merah penularan Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tamat tempoh esok, Selangor sedia jika PKPB dilanjut

SHAH ALAM, 26 OKT: Kerajaan Negeri bersedia jika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor yang dijadual berakhir esok dilanjutkan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kuasa itu terletak pada kerajaan persekutuan dengan mengambil kira situasi semasa pandemik Covid-19.

“Selangor ada pendirian tertentu, namun kuasa kerajaan persekutuan harus dilaksana dengan arahan terkini. Ada baiknya keputusan (lanjutan PKPB) dibuat untuk mengekang aktiviti yang boleh menggalak penularan Covid-19, justeru Kerajaan Negeri bersedia dengan sebarang kemungkinan,” katanya.

Dato’ Seri Amirudin shari pada Majlis Tandatangan dan sidang media Liga Bola Keranjang Komuniti Kebangsaan di Hotel Grand Bluewave, Shah Alam pada 13 Oktober 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau ditemui selepas membuat saringan Covid-19 di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri hari ini.

PKPB dikuat kuasa di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mulai 14 hingga 27 Oktober susulan peningkatan kes Covid-19.

Sementara itu, Amirudin berkata kira-kira 1,200 wakil rakyat dan petugas, termasuk kakitangan media membuat saringan sempena persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) pada Jumaat.

Beliau berkata langkah itu bagi memastikan sidang dewan berjalan lancar dan selesa dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) bagi mencegah Covid-19.

“Selagi mana kita berdepan dengan Covid-19 dan belum menemui vaksin, inilah realiti kehidupan yang perlu dipatuhi dan kita perlu ikut SOP.

“Rakyat perlu sentiasa berhati-hati dengan kes yang semakin meningkat di beberapa mukim dan lokatiti sehingga kita dapat penawar atau vaksin,” kata Amirudin.


Pengarang :