Pengguna Bas Smart Selangor memakai pelitup muka ketika tinjauan SelangorKini di perhentian bas Bandar Baru Ampang pada 3 Jun 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Tambahan laluan bas Smart Selangor manfaat 8,000 penduduk

SHAH ALAM, 22 OKT: Laluan Bas Smart Selangor SJ02 yang ditambah liputannya ke PJS7 Subang Jaya hari ini dijangka memanfaatkan lebih 8,000 penduduk, kata Ahli Dewan Negeri Subang Jaya.

Lencongan baharu itu katanya melalui kawasan perumahan kos rendah, Kuil Guan Di, Kuil Sri Subramaniam, Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Sunway dan Sekolah Kebangsaan Bandar Sunway.

“Sebelum ini penduduk sukar mendapatkan perkhidmatan bas berkenaan sehingga ada pelajar sekolah terpaksa melintas lebuh raya bagi mendapatkan bas untuk ke sekolah.

“Pada masa sama, terdapat ramai golongan berpendapatan rendah (B40) dari kawasan itu memerlukan perkhidmatan bas percuma, tambahan laluan ini tentu menggembirakan mereka,” kata Michelle Ng Mei Sze.

Pada 15 Mei lalu, EXCO Pengangkutan Ng Sze Han berkata perkhidmatan Bas Smart Selangor telah memberi manfaat kepada 38.6 juta pengguna sehingga September tahun lalu.

Sebanyak RM78.6 juta juga telah dibelanjakan oleh Kerajaan Negeri merangkumi kos operasi dan penyelenggaran lebih 130 bas yang digunakan setiap hari.


Pengarang :