Balai ketibaan di Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok pada 3 Jun 2020 kelihatan lengang berikut penularan pandemik Covid-19. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Thailand perketat kawalan sempadan kekang kes import Covid-19

BANGKOK, 10 OKT: Thailand kini memperketat kawalan keselamatan di sepanjang kawasan sempadannya dengan Malaysia dan Myanmar bagi mengekang aktiviti rentas sempadan secara haram yang berpotensi mengimport kes Covid-19.

Susulan peningkatan kes Covid-19 di Malaysia dan Myanmar, Ketua Turus Batalion ke-4 Tentera Mejar Jeneral Pramote Phrom-in berkata pihak berkuasa keselamatan telah memperketat penguatkuasaan di sempadan darat dan perairannya bagi menghalang rakyat asing menyusup masuk ke negara itu.

“Peningkatan rondaan oleh pihak berkuasa Thailand dan Malaysia telah menyaksikan pengurangan ketara dalam jumlah aktiviti rentas sempadan secara haram di sepanjang sempadan Thailand-Malaysia.

“Sejak penularan baharu gelombang kedua Covid-19 (di Malaysia), hanya terdapat beberapa kes aktiviti kemasukan secara haram dilaporkan,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Sejak pembukaan semula lima pintu masuk daratnya di wilayah-wilayah selatan negara itu pada 18 April, beliau berkata kira-kira 24,000 rakyat Thailand kembali secara sah dari Malaysia.

Sementara itu, Pramote meluahkan kebimbangannya mengenai aktiviti rentas sempadan secara tidak sah oleh migran yang turut mengelak menjalani ujian saringan Covid-19 dan kuarantin selama 14 hari.

“Kebimbangan kami paling utama kini ialah pekerja migran Myanmar melakukan percubaan untuk menyeberangi sempadan secara tidak sah selepas negara itu melaporkan peningkatan dalam jangkitan Covid-19.

“Pihak berkuasa keselamatan mempergiat rondaan di kawasan sempadan untuk mengekang penularan Covid-19 di Thailand. Langkah-Langkah sekatan akan dilaksanakan sehingga situasi itu pulih,” katanya.

Susulan gelombang baharu penularan pandemik Covid-19 di Myanmar dan Malaysia, beliau berkata sebanyak 95 pekerja migran telah ditahan, kebanyakannya di wilayah Ranong yang bersempadan dengan Myanmar.

Setakat ini, Thailand telah mencatat sejumlah 3,634 kes Covid-19 dengan 59 kematian. Malaysia pula telah mencatat sejumlah 14,722 kes dengan 152 kematian manakala Myanmar sebanyak 23,906 kes dengan 566 kematian.

Malaysia kini berdepan gelombang ketiga penularan Covid-19 yang melanda negara sejak 1 Oktober. Jumlah jangkitan baharu melonjak ke tiga angka selama sembilan hari berturut-turut denngan yang tertinggi ialah 691 kes pada 6 Oktober.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jangkitan baharu membabitkan beberapa kluster di Sabah dan Kedah, kawasan yang bersempadan dengan Thailand adalah disebabkan virus Covid-19 dengan mutasi jenis D614G yang lebih mudah merebak kerana kadar kebolehjangkitannya yang lebih tinggi.

– BERNAMA


Pengarang :