Anggota polis melakukan sekatan jalan raya di Lebuhraya Persekutuan berhadapan Bangunan Majlis Perbandaran Klang (MPK), Klang pada harinketiga pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan akibat penularan Covid-19 pada 20 MAC 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI 4 Attachments
AGENDANASIONAL

Tiga jalan di Petaling Jaya ditutup tengah malam ini

KUALA LUMPUR, 13 OKT: Sebanyak tiga penutupan jalan di daerah Petaling Jaya dilaksanakan mulai tengah malam ini (14 Okt), selaras dengan tindakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikenakan selama dua minggu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Supt Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, penutupan jalan itu meliputi Jalan Persiaran Mahogani di Seksyen 9, Jalan Persiaran Jati di Seksyen 8 dan Jalan Persiaran Sungai Buloh.

Beliau berkata berikutan penutupan jalan itu, pengguna jalan raya boleh menggunakan laluan alternatif iaitu di jalan Persiaran Kenanga melalui Tol Kota Damansara, Jalan Persiaran Surian di Palm Spring Kota Damansara dan di Jalan Persiaran Tropicana melalui Casa Tropicana.

“Penutupan jalan ini adalah selaras dengan perintah PKPB, untuk mengawal pergerakan orang ramai dan lalu lintas di jalan-jalan itu.

“Bagaimanapun, laluan (yang ditutup) ini masih boleh dilalui oleh kenderaan ambulan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang mana anggota PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan ditempatkan di lokasi terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menyarankan, semua lapisan masyarakat agar mematuhi perintah PKPB dan bersabar dalam menghadapi kesulitan, bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

“Tindakan yang diambil ini secara tidak langsung meletakkan keselamatan awam di Petaling Jaya, sebagai keutamaan pihak polis IPD Petaling Jaya,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan berkata sebanyak empat sekatan jalan raya (SJR) dikenakan di empat tempat iaitu di hadapan Balai Polis Beranang, Jalan Broga, Jalan Bangi menuju Nilai, Negeri Sembilan dan susur masuk Plaza Tol Bandar Seri Putra.

“IPD Kajang mengadakan sekatan jalan raya dan penutupan beberapa jalan di beberapa lokasi yang telah ditetapkan, bagi mengurangkan pergerakan dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19.

“Sementara itu, lokasi penutupan kekal (24 jam) adalah di Jalan Genting Peras. Polis menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan mematuhi segala peraturan yang ditetapkan, sepanjang tempoh PKPB dikuatkuasakan,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :