Timbalan Speaker Program ADN Muda, Hasnul Baharuddin ketika Sesi Perbahasan Program ADN Muda Secara Maya di Dewan Annexe, Shah Alam pada 3 Oktober 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Timbalan speaker puji idea ADN Muda, ada potensi dibawa ke sidang DNS

SHAH ALAM, 4 OKT: Idea dilontarkan Ahli Dewan Negeri (ADN) Muda sangat menakjubkan dan berpotensi diketengah wakil rakyat ke sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), kata timbalan speakernya .

Hasnul Baharuddin berkata mereka bijak mencari dan mengeluarkan fakta khususnya berkaitan isu semasa serta menjadikan cara penyampaian lebih menarik.

“Kualiti (penyampaian) peserta ADN Muda cukup memberangsangkan malah mereka berani memberikan hujah yang baharu dan bernas dengan menggunakan kemahiran serta ilmu dimiliki.

“Saya percaya, usul ini sedikit sebanyak membantu ADN Selangor sedia ada untuk mencari jalan penyelesaian tuntas terhadap isu mendesak di negeri ini seperti (isu) air,” katanya ditemui selepas Program ADN Muda Virtual di Dewan Annex semalam.

Beliau yang juga ADN Morib berkata individu terlibat juga wajar diberi ruang dan peluang untuk merasai pengalaman berbahas di DNS pada masa akan datang.

“Program ini sebenarnya dimulakan sejak 2014 lagi dan kali ini kita menggunakan pendekatan secara maya bagi mengurangkan penglibatan ramai pihak susulan pandemik Covid-19.

“Selepas ini kita akan cuba berikan masa sekurang-kurangnya dua atau tiga bulan kepada peserta untuk membuat persiapan mengikut isu semasa,” katanya.


Pengarang :