AGENDAEKONOMINASIONAL

Tindak balas spontan pengaruhi Bursa Malaysia, diniaga rendah

KUALA LUMPUR, 24 OKT: Bursa Malaysia dijangka menyaksikan beberapa tindak balas spontan dalam kalangan pelabur minggu depan, sekali gus menolak turun FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dan mengekalkannya di bawah paras 1,500 mata.

Menurut Bank Islam Malaysia Bhd, indeks barometer diunjurkan bergerak dalam julat 1,400 dan 1,500 mata dengan ketidakpastian situasi politik terus menjadi kebimbangan utama para pelabur.

“Sentimen secara keseluruhannya dijangka lemah dengan peserta pasaran terus menantikan keputusan mesyuarat dan pertemuan antara Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Jumaat,” ahli ekonomi Adam Mohamed Rahim memberitahu Bernama.

Terdahulu semalam, Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet di Perdana Putra, Putrajaya bagi membincangkan isu-isu semasa.

Berdasarkan aliran keluar pasaran daripada saham permodalan kecil dan sederhana pada Jumaat, papan skor menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 894 berbanding 311, manakala 352 kaunter tidak berubah, 610 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.

Menurut penganalisis, penurunan ini disebabkan oleh situasi tidak menentu dalam perkembangan ekonomi dan politik negara yang menyaksikan para pelabur keluar daripada pasaran.

Namun begitu, saham berkaitan indeks disokong oleh pelabur institusi.

Sementara itu, untuk perkembangan luar pula, pilihan raya presiden AS yang akan berlangsung pada 3 November depan merupakan satu lagi faktor yang akan mempengaruhi pasaran kerana pemenangnya akan mempunyai dasarnya sendiri yang akan menentukan bagaimana hubungan perdagangan Malaysia dengan Amerika Syarikat.

Untuk minggu baru berakhir, bursa tempatan kebanyakannya bergerak dalam zon merah, dikuasai oleh keadaan politik semasa yang masih berkocak dan kemunculan semula kes Covid-19 seluruh dunia.

Bursa tempatan turut mengambil petunjuk daripada pergerakan bursa Asia serantau yang lain sejak beberapa minggu lepas dan prestasi semalaman Wall Street, dipacu oleh rundingan pakej rangsangan yang masih belum selesai.

Rakuten Trade dalam notanya berkata harapan untuk rangsangan itu masih tidak menentu sejak beberapa minggu lepas dan makluman terkini ialah perjanjian itu akan dimuktamadkan tidak lama lagi.

Sementara itu, CGS-CIMB Futures Sdn Bhd pula berkata memandangkan Lembah Klang memasuki minggu kedua Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, pelabur runcit terus memasuki pasaran saham dan ini juga disebabkan oleh kadar faedah yang rendah, dan ia dijangka dikurangkan lagi pada November.

“Urus niaga selama empat hari minggu ini sehingga Khamis mencatatkan jumlah dagangan 35.75 bilion, meningkat 5.21 peratus berbanding 33.98 bilion minggu lepas,” katanya.

Berdasarkan perbandingan Jumaat-Jumaat, FBM KLCI ditutup 9.20 mata lebih rendah pada 1,494.64 berbanding 1,503.84 sebelumnya.

Di papan skor, Indeks FBM Emas menyusut 110.84 mata kepada 10,827.23, Indeks FBMT 100 susut 108.59 mata kepada 10,631.63 dan Indeks FBM Emas Shariah lemah 186.50 mata kepada 12,954.11.

FBM 70 jatuh 313.37 mata kepada 14,258.34 dan FBM ACE kehilangan 365.11 mata kepada 10,606.77.

Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 50.51 mata kepada 12,359.16 dan Indeks Perladangan turun 3.51 mata kepada 6,855.00 tetapi Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.76 mata kepada 144.36.

Indeks Teknologi menambah 32.37 mata kepada 60.78 manakala Indeks Penjagaan Kesihatan meningkat 68.43 mata kepada 4.021.86.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 42.67 bilion unit bernilai RM25.89 bilion daripada 33.97 bilion unit minggu lalu bernilai RM23.47 bilion.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama mengukuh kepada 23.18 bilion saham bernilai RM20.43 bilion berbanding 19.81 bilion saham bernilai RM17.91 bilion sebelumnya.

Jumlah dagangan waran lebih tinggi pada 4.82 bilion unit bernilai RM1.24 bilion berbanding 4.06 bilion unit bernilai RM988.80 juta pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE juga meningkat kepada 14.66 bilion saham bernilai RM4.22 bilion daripada 10.08 bilion saham bernilai RM4.57 bilion.

-BERNAMA

 


Pengarang :