Kakitangan Luas meletakkan sebanyak 43 beg karbon aktif bagi menangani insiden pencemaran bau Sungai Kuang, Rawang susulan kebakaran kilang memproses plastik pada 30 Oktober 2020. Foto Facebook Lembaga Urus Air Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Tindakan pantas atasi pencemaran Sungai Kuang, tidak jejas bekalan air

SHAH ALAM, 31 OKT: Tindakan pantas diambil bagi menangani insiden pencemaran bau Sungai Kuang, Rawang susulan kebakaran kilang memproses plastik di kawasan berhampiran semalam.

EXCO alam sekitar berkata sebanyak 43 beg karbon aktif diguna bagi menyahbau sisa kebakaran, sekali gus mengelaknya daripada mengalir ke Sungai Sembah dan Sungai Selangor.

“Lembaga Urus Air Selangor (Luas), Pengurusan Air Selangor dan Majlis Perbandaran Selayang dalam proses menghentikan sisa kebakaran melalui cadangan pembinaan ban tanah.

Kakitangan Luas dan bomba meninjau insiden pencemaran bau Sungai Kuang, Rawang susulan kebakaran kilang memproses plastik di kawasan berhampiran pada 30 Oktober 2020. Foto Facebook Lembaga Urus Air Selangor

“Luas juga akan mengeluarkan Perintah Perlindungan Air di bawah Seksyen 122, Enakmen Luas 1999 kepada kilang terlibat berhubung risiko dan ancaman insiden itu kepada kualiti sumber air,” kata Hee Loy Sian dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah insiden kebakaran yang dikesan malam tadi tidak menjejaskan operasi loji rawatan air (LRA) dan bekalan kepada pengguna.

Jelasnya, siasatan mendapati sisa kebakaran tersebut membeku di permukaan air, namun sisa kehitaman kesan bahan terbakar mengalir ke alur air hulu Sungai Kuang.

“Insiden itu menyebabkan kesan bau sekitar tiga TON (nombor bau nilai ambang) melalui ujian pensampelan bau, manakala jarak insiden ke muka sauk LRA Rantau Panjang dianggar 33km.

“Kerajaan Negeri sentiasa komited memastikan kelangsungan sumber air dan menyeru semua agar prihatin terhadap kawasan sensitif sumber air terutama sungai,” kata Loy Sian lagi.

Sisa kebakaran membeku di permukaan air, namun sisa kehitaman dikesan mengalir ke alur air hulu Sungai Kuang. Foto Facebook Lembaga Urus Air Selangor

 


Pengarang :