Sisa minyak hitam yang dikesan di alur air di Jalan KB1/9, Kampung Baru Balakong pada 27 Oktober 2020. Foto Facebook Luas
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Tindakan pantas Luas halang tumpahan minyak cemari sungai

SHAH ALAM, 28 OKT: Tindakan pantas Lembaga Urus Air Selangor (Luas) yang menerima aduan tumpahan minyak hitam berjaya mengelak henti tugas Loji Rawatan Air (LRA).

Agensi menerusi kenyataan berkata sisa minyak enjin terpakai dikesan di alur air Jalan KB1/9, Kampung Baru Balakong pada jam 6 petang semalam.

“Aliran alur ini akan memasuki Sungai Balak dan seterusnya Sungai Langat. Susulan itu alat penghalang dan pemecah minyak diletak untuk menyekat aliran minyak.

“Luas turut mengambil sampel untuk dianalisis serta melakukan tindakan kawalan di tempat kejadian,” katanya semalam.

Menurutnya, lokasi pembuangan merupakan tempat air bertakung manakala siasatan mendapati perbuatan dilakukan pihak ketiga.

“Luas dengan kerjasama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) cawangan Kajang akan memaklumkan perkembangan dari semasa ke semasa,” katanya.

Pada 23 Oktober, agensi turut berjaya mengesan awal dua pencemaran di Sungai Kundang, Rawang dan Tasik Putrajaya sekaligus mengelak henti tugas LRA.


Pengarang :