Tinjauan di Sungai Semenyih, Dengkil yang dicemari bau bangkai menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi pada 5 Oktober 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Tindakan pantas Luas kesan pencemaran, elak gangguan air

SHAH ALAM, 23 OKT: Tindakan pantas Lembaga Urus Air Selangor (Luas) berjaya mengesan dua pencemaran di Sungai Kundang, Rawang dan Tasik Putrajaya sekaligus mengelak henti tugas Loji Rawatan Air (LRA).

EXCO alam sekitar berkata pemantauan 24 jam menerusi Ops Statik Sungai Gong, Rawang mengesan pencemaran bau sehingga 10 TON (nilai bau ambang) di Sungai Kundang pada jam 10.45 pagi semalam.

“Siasatan lanjut Luas bersama Air Selangor di premis yang disyaki mendapati bau sama sehingga 10 TON dikesan di pelepasan akhir premis di kawasan industri Kundang Jaya.

“Luas mengeluarkan surat arahan di bawah Seksyen 121(1), Enakmen Luas 1999 diberi kepada premis terbabit untuk menghentikan pelepasan sisa buangan serta-merta dan melaksanakan tindakan pembersihan segera,” kata Hee Loy Sian menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata Luas mengambil langkah menyahbau dengan meletakkan 12 beg mengandungi 300 kilogram karbon aktif untuk mengawal pencemaran.

Tambahnya, pencemaran kedua melibatkan tumpahan diesel ke dalam Tasik Putrajaya pada jam 9.35 pagi akibat kebocoran paip bawah tanah Institut Kanser Negara (IKN), Putrajaya.

“Perbadanan Putrajaya (PPJ) telah mengarahkan IKN melaksanakan kerja pembersihan dengan segera bagi mengelakkan kejadian menjadi lebih teruk.

“Beberapa langkah mitigasi dijalankan IKN merangkumi pembaikan paip sambungan, meletakkan ‘oil pad’ dan ‘oil boom’ pada sistem saliran dan menyedut minyak yang telah bercampur,” katanya.

Beliau berkata insiden tersebut boleh menyebabkan pencemaran Sungai Langat serta menyebabkan henti tugas LRA Bukit Tampoi.


Pengarang :