BUDAYARENCANA

Tingkap dalam Parasite

Oleh Adam Taufiq Suharto

SAYA menyelak majalah Mastika terbitan Ogos 1976. Selepas beberapa selakan, muncul gambar seorang figura yang tidak asing – Tun Dr. Mahathir Mohamad. Rencana pada halaman tersebut rupa-rupanya adalah karangannya. Dalam rencana bertajuk Asas Kapitalisme dan Sosialisme itu, Dr. Mahathir bercerita tentang masalah sistem kapitalisme di Barat hingga memunculkan dua orang ahli falsafah, Engel (1820-1895) dan Karl Marx (1818-1883) yang merenungi pergelutan kelas bawahan yang hidup di bawah cengkaman dan bedilan kapitalis.

Tun kemudian menulis tentang contoh sebuah cukai semasa era kapitalisme Eropah yakni:

‘…kezaliman cukai yang biasa dikenakan ialah cukai tingkap; lebih besar tingkap di rumah, lebih besar cukai yang dikenakan. Sudah tentu cukai ini memaksa orang miskin tinggal dalam gelap, walaupun di siang hari. Sudahlah miskin, cukai ini menentukan supaya golongan ini menghidap berbagai penyakit dalam rumah mereka yang gelap dan kotor.’

Saya terdiam. Imej ‘tingkap besar’ dan ‘tingkap kecil’ mula terprojek di minda – mengingatkan saya kepada sebuah filem pemenang anugerah Palme D’Or di Festival Filem Cannes 2019, Parasite (2019) arahan Bong Joon Ho.

Tingkap adalah set produksi yang mustahak dalam filem tersebut. Pada babak awal lagi, filem itu telah mempertemukan penonton dengan tingkap kecil yang menghidangkan pemandangan jalan sempit dari aras pandang yang rendah. Kamera kemudiannya bergerak ke bawah, dan kita mula sedar bahawa tingkap yang diperlihatkan tadi adalah tingkap bagi sebuah rumah semi-bawah tanah.

Perlahan-lahan, kita diberikan eksposisi, ini adalah rumah keluarga Kim yang agak papa. Pada tingkap itu juga, tiada yang enak dengan pemandangannya. Seorang gila yang membuang air kecil di tingkap, juga seseorang meletakkan kenderaan di hadapan tingkap kecil-sempit itu hingga menutup terus pemandangan si keluarga papa.

Sekarang, mari kita ziarahi satu lagi rumah; rumah keluarga Park yang kaya-raya. Di rumah keluarga itu, ukuran tingkapnya berbeza. Hampir sebesar dinding. Jendela-tingkap telah menjadi dinding rumah mereka. Pemandangannya juga berbeza, saujana mata memandang. Sebuah anjung berumput yang menenangkan. Ini ternyata kontra dengan pemandangan dari tingkap kecil rumah keluarga Kim nan papa.

Rumah keluarga Kim yang papa berteman kotoran, lumut, hamis dengan kehadiran serangga-serangga perosak manakala rumah keluarga Park yang mewah dipaparkan bersih, suci lagi mulus. Malah, objek-objek kotor pula sangat abject (hina) untuk wujud dalam pandangan mata mereka.

Dari alergik itulah, keluarga si papa, Kim, mengeksploitasi kotoran-penyakit untuk ‘menghumban’ keluar semua pekerja di dalam rumah keluarga kaya itu lalu berparasit dalam rumah si kaya, menunggangi kemewahan. Seluruh ahli keluarga Kim bekerja di dalam rumah keluarga Park melalui penipuan. Di situlah bermulanya satu momen, si kaya dan si papa berkongsi ruang yang sama lalu bau kaya dan miskin pun bercampur-aduk.

Berbalik semula kepada hal tingkap dalam Parasite. Tingkap kecil di rumah keluarga papa dan tingkap besar di rumah si kaya sebenarnya boleh ditafsir dengan pemaknaan yang lain. Barangkali menggambarkan tentang masa hadapan atau untung nasib kedua-dua keluarga. Untuk keluarga Kim yang papa, tingkap kecil mereka itu adalah gambaran masa hadapannya selaku si miskin. Sempit, sesempit-sempitnya. Dan ini terbukti pada pengakhiran filem yang menunjukkan mereka akhirnya kembali semula ke rumah semi bawah tanah mereka dengan tingkap sempit itu. Masa hadapan tidak memihak kepada mereka.

Ini berbeza dengan keluarga si kaya, Park. Tingkap besar di rumah mereka itu adalah gambaran peluang yang terbentang buat si kaya. Mereka bebas melakukan apa sahaja dengan wang dan kekayaan yang dimiliki. Ini terbukti pada pengakhiran filem. Selepas kematian si bapa dari keluarga Park, keluarga kaya itu masih sahaja dapat berpindah dan memulakan hidup baru.

Di sinilah barangkali hubung kaitnya hujahan Dr. Mahathir tentang masalah cukai pada era kapitalisme Eropah yang telah memusnahkan peluang hidup orang-orang miskin. Tinggal lagi, esei Dr. Mahathir berkontradik dengan segala rungutannya atas kekejaman kapitalisme dengan perenggan ini:

“Pada permulaan rencana ini ada diterangkan bahawa kapitalisme dan sosialisme adalah sistem barat yang berasas kebendaan dan tamak harta benda. Asas inilah yang salah. Selagi irihati kerana pemilikan harta-benda menguasai jiwa masyarakat, selama itulah kebahagiaan tidak akan wujud.”

Membaca perenggan hujung itu membuatkan saya terdiam. Ada sesuatu yang seakan tidak selesai dari dalam kalbu. Tiba-tiba, sebuah babak terprojek. Babak keluarga si papa bersenang-senang di rumah si kaya sambil menghadap tingkap besar rumah mewah itu. Dialog yang dilafazkan keluarga Kim itulah yang sangat terkesan dan meninggalkan beribu persoalan. Dialog itu adalah:

“Dia kaya, tapi masih baik”

“Bukan. Dia kaya, kerana itulah dia baik. Kalau saya kaya, saya juga akan baik, malah lebih baik.”

Ingatan saya terhadap dialog itu membuat saya termenung seorang diri. Dari gambaran cukai tingkap era kapitalisme Eropah yang diceritakan Mahathir, kepada tingkap kecil dan besar yang divisualkan Bong Joon Ho, kini saya perhatikan tingkap kamar saya, kecil dan kurang pencahayaan. Persoalannya kini bermain lebih jauh. Adakah ini bermakna, kapitalisme dengan senyap-senyap membinasakan manusia hingga hari ini atau manusia yang membiarkan kapitalisme membinasakan mereka?

Dalam keheningan itu, cahaya mentari perlahan-lahan masuk menerusi tingkap kamar. Saya pun bangun, lalu mengarang esei ini.

 

 

 

 


Pengarang :