AGENDAJENAYAHNASIONAL

Tingkat keselamatan siber, elak penggodam curi data

PADANG BESAR, 3 OKT: Kementerian Komunikasi dan Multimedia sedang berusaha meningkatkan keselamatan siber secara berfasa untuk membendung kegiatan penggodam, penipu dan pencuri data peribadi.

Timbalan Menterinya Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata ini kerana kes penipuan siber dan jenayah komersial yang direkodkan di seluruh negara dilihat amat membimbangkan kerana ia bukan hanya melibatkan golongan kanak-kanak dan belia tetapi juga golongan berjawatan tinggi, profesional dan berpendidikan tinggi.

Beliau berkata menurut sumber Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 9,215 kes jenayah komersial direkodkan di seluruh negara membabitkan nilai kerugian mencecah RM717.2 juta bagi tempoh Januari hingga April.

“Jumlah penipuan siber yang diterima oleh CyberSecurity Malaysia untuk tempoh Januari hingga Ogos pula mencatatkan sebanyak 5,697 insiden berbanding 4,671 insiden pada tempoh sama tahun lepas, iaitu peningkatan sebanyak 22 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup dan penyampaian sijil Seminar Keibubapaan Siber: Ke Arah Fasih Digital di Institut Kemahiran Mara (IKM) dekat sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia Datuk Dr Amiruddin Wahab.

Zahidi berkata Hasil Kajian Garis Asas Kesedaran Keselamatan Siber terhadap penggunaan teknologi dan Internet menunjukkan bahawa 50 peratus pelajar sekolah menengah berinteraksi melalui laman media sosial tanpa pemantauan ibu bapa manakala satu daripada empat pelajar menghadapi masalah penyisihan, ugutan dan gangguan dalam talian.

Katanya, berdasarkan sumber Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pula menyatakan 94 peratus kanak-kanak terdedah kepada pornografi dalam talian.

“Ini sangat membimbangkan kerana anak-anak kita walaupun duduk di rumah dengan pintu berkunci dan diawasi di depan mata, namun realitinya mereka sedang menjelajah dunia melalui peranti yang mempunyai akses dalam talian tanpa kita sedari.

“Anak-anak kita yang masih belum matang boleh secara tidak sengaja mendedahkan data-data peribadi yang boleh mengundang kepada berlakunya jenayah siber,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :