Selangorkini
Datuk M. Noor Azman Taib (kiri) menandatangani plak perasmian Monumen Badminton Keluarga Dato’ Haji Sidek di Kanchong Darat, Banting pada 4 Oktober 2020. Turut bersama dalam gambar adalah 5 beradik Sidek dari kanan, Dato’ Seri Mohd Jalani, Dato’ Mohammad Razif, Abdul Rahman, Abdul Rashid, Datuk Mohamed Misbun dan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Dato’ Sri Mohamad Norza Zakaria. Foto oleh ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSI SELANGOR

Tourism Selangor sedia promosi monumen badminton keluarga Sidek

KUALA LANGAT, 4 OKT: Tourism Selangor sedia mempromosikan Monumen Badminton Keluarga Dato’ Haji Sidek sebagai lokasi tarikan pelancong yang baharu.

Pengurus Besarnya Azrul Shah Mohamad berkata momumen ini merupakan lokasi yang perlu dikunjungi kerana ia menyimpan sejarah arena badminton negara khususnya membabitkan Selangor.

“Kita lihat Monumen Badminton Keluarga Dato’ Haji Sidek sebagai produk yang harus kita bawa pelancong untuk singgah ke Kuala Langat.

“Monumen ini dilihat sebagai sejarah kegemilangan sukan badminton Selangor, seterusnya negara kita secara amnya,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian di pekarangan rumah Dato’ Sidek di sini hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk M Noor Azman Taib sambil disaksikan Sidek Brothers yang turut menurunkan tandatangan pada lukisan dinding.

Monumen badminton yang dibina pada 1992 kini diserikan dengan lukisan dinding yang memaparkan wajah lima anak Allahyarham Datuk Sidek Abdullah Kamar iaitu Datuk Dr Mohmed Misbun, Datuk Mohd Jalani, Datuk Mohammad Razif, Abdul Rahman dan Abdul Rashid ketika melalui zaman kegemilangan dalam karier masing-masing.

Baik pulih monumen ini hasil cetusan Kelab Cintai Sukan dan Rekreasi Selangor bermula 13 Ogos lalu dan siap sepenuhnya dalam tempoh tujuh minggu.

 


Pengarang :