Petugas kesihatan melakukan persiapan bagi proses saringan Covid-19 kepada orang ramai ketika tinjauan di Klinik Kesihatan Membedai Labuan pada 6 Oktober 2020. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Tujuh lagi petugas kesihatan ke Sabah, bantu bendung Covid-19

SHAH ALAM, 11 OKT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menghantar tujuh lagi petugas ke Sabah hari ini bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Ketua pengarah kesihatan berkata ia membabitkan jururawat dari Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kelantan yang dimobilisasi ke Hospital Tawau, semalam.

“Mereka adalah masing-masing dua petugas dari Hospital Gua Musang dan Hospital Tanah Merah dan setiap seorang dari Hospital Raja Perempuan Zainab II, Hospital Tengku Anis dan Hospital Sultan Ismail Petra yang bersedia menjalankan tugas di lapangan,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi Facebook hari ini.

Semalam, seramai 475 anggota perubatan dan kesihatan awam pelbagai kategori serta skim perkhidmatan turut digerakkan ke beberapa daerah di Sabah.

Dr Noor Hisham menyeru lebih banyak sukarelawan perubatan dan kesihatan melibatkan diri untuk membantu KKM dalam menangani gelombang ketiga Covid-19.


Pengarang :