PBTSELANGOR

Tunggakan cukai taksiran lebih RM72 juta, MPAJ giat kesan pemilik harta

SHAH ALAM, 5 OKT: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) memaklumkan jumlah tunggakan cukai taksiran mencecah RM72.79 juta sejak 2017 hingga Ogos lalu.

Yang dipertuanya berkata setakat ini sebanyak RM13.59 juta berjaya dikutip menerusi operasi tunggakan dan sitaan cukai taksiran.

“Untuk tempoh tersebut, 29,399 notis dan waran dikeluarkan dengan hanya 10,084 (notis dan waran) dibayar oleh orang ramai manakala baki 19,315 lagi kita masih belum terima bayaran,” kata Mohd Fauzi Mohd Yatim kepada SelangorKini.

Beliau berkata MPAJ menghantar Notis 7E di Ukay Perdana, Ampang Utama, Taman Dato’ Ahmad Razali, Jalan Memanda Ampang Point, Taman Nirwana dan Taman Dagang sepanjang Ogos lalu.

Menurutnya, jumlah tunggakan bagi kesemua lokasi berkenaan berjumlah RM6.3 juta dengan RM751,402.54 berjaya dikutip.

“Bilangan notis yang sudah dihantar ialah 2,556 dengan 626 atau 24.5 peratus daripadanya berbayar sementara 1,930 (75.5 peratus) lagi tidak berbayar,” katanya.


Pengarang :